KUALA LUMPUR: Nilai hartanah di sepanjang laluan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura meningkat setara dengan harta purata hartanah di kawasan perdana di ibu negara, KLCC.
Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Loong Kok Wen, berkata terdapat kira-kira 11 projek berlangsung di kawasan sekitar stesen RTS di Bukit Chagar dan harga jualan purata (ASP) hartanah terbabit berada dalam lingkungan RM1,000 hingga RM1,300 bagi setiap kaki persegi, iaitu setara dengan harga purata kondominium dikawasan KLCC.
"Selain itu, kunjungan kami pada waktu malam menunjukkan kebanyakan unit-unit perumahan yang terletak berhampiran dengan stesen terbabit berada dalam suasana yang cerah.
"Pada tahun-tahun seterusnya apabila aspek ketersambungan dipertingkat dan lebih banyak bangunan di duduki penyewa, pusat bandar Johor Bahru dijangka akan semakin berkembang," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Beliau berkata, RHB Investment Bank berasa optimis terhadap pasaran hartanah di Iskandar Malaysia selepas pasukan penyelidikan bank pelaburan itu mengadakan lawatan ke Johor, baru-baru ini.
"Kami percaya lalu lintas merentas sempadan akan menjadi semakin rancak apabila siapnya RTS Johor Bahru-Singapura pada akhir 2026 dan landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dalam tempoh mungkin sedekad lagi.
"Selain aliran masuk pelaburan yang baik menggalakkan pertumbuhan ekonomi negeri ini, pasaran hartanah Johor berkemungkinan akan kembali pesat pada tahun-tahun seterusnya," katanya.
Kok Wen berkata, permintaan hartanah di Johor Bahru juga akan melonjak didorong oleh harga sewaan dan rumah yang mahal di Singapura.
Beliau berkata, harga sewaan dan rumah yang mahal di Singapura akan menjadi faktor pendorong yang membolehkan rakyat Malaysia ataupun pekerja asing yang bekerja di Singapura untuk beralih ke Johor Bahru.
"Ini berikutan faktor lokasi yang dekat dan perbezaan harga kerana penyewaan kondominium di Singapura berkembang 32 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2023. Malah, kerajaan Singapura juga telah melaksanakan duti setem lebih mahal pada April tahun ini.
"Permintaan sewaan rumah di Johor berdekatan dengan Tambak Johor dan Laluan Kedua dijangka meningkat dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang," katanya.
Kok Wen menambah, pasaran hartanah di Iskandar Malaysia juga dianggap sudah berjaya mengatasi isu lambakan bekalan dan 'kemelut Forest City'.
"Sejak lawatan terakhir pada 2019, kami dapat merasai momentum semakin menaik di Johor, terutamanya di kawasan sekeliling stesen RTS di Bukit Chagar.
"Walaupun pemaju tersenarai belum lagi mempunyai sebarang projek di kota bandar Johor Bahru, keseluruhan pasaran hartanah Iskandar dijangka mendapat manfaat daripada kemunculan pemaju dan pembeli hartanah, sama ada warga tempatan mahupun warga asing.
"Keadaan ini akan mendapat rangsangan lanjut menerusi perbelanjaan yang meningkat daripada warga Singapura dan juga pemulihan projek HSR KL-Singapura," katanya.
Beliau memberi contoh hab komersial di Eco Botanic (Eco Boulevard), Sutera Utama, Bukit Indah, dan Mount Austin menjadi kawasan tarikan pelancong dari Singapura.
"Deretan kedai di sini mendapat sambutan penyewaan yang baik dan medan-medan kereta penuh ketika lawatan kami pada pagi hari bekerja," katanya.
Sumber: Berita Harian
Nilai hartanah laluan RTS di Johor setanding kawasan KLCC
Comments