KUALA LUMPUR: Industri perkayuan yang menjadi industri penting kepada pembangunan ekonomi negara merekodkan eksport berjumlah RM13.2 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata pencapaian eksport bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini adalah 13.79 peratus lebih tinggi berbanding RM11.59 bilion yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.
"Pada 2021, industri ini telah mencapai nilai eksport sebanyak RM22.7 bilion dengan perabot kayu yang menjadi komponen terpenting dalam industri perkayuan telah menyumbang nilai eksport sebanyak RM10.4 bilion."Produk ini telah berjaya dieksport ke lebih 160 buah negara termasuk pasaran utama perabot Malaysia seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun, Singapura, Australia dan United Kingdom," katanya pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara CTCS Worldwide Sdn Bhd (CWSB) dengan tujuh pemegang taruh di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zuraida berkata, walaupun produk perkayuan dan perabot Malaysia mencatat prestasi eksport memberangsangkan di pasaran dunia, sumbangan usahawan Bumiputera dalam nilai eksport perkayuan masih jauh ketinggalan.
Katanya, berdasarkan nilai eksport perkayuan dan perabot, sumbangan usahawan Bumiputera dianggarkan kurang daripada 1.0 peratus sahaja."Kementerian melalui agensinya, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) serta anak syarikat MTIB iaitu CWSB telah menjalankan pelbagai program untuk memastikan bahawa agenda Bumiputera ini terus diperkasa melalui program yang sedang dilaksanakan sepanjang tahun ini," katanya.
Sejak penubuhan CWSB pada 2019, syarikat itu telah diberi mandat untuk menyokong pembangunan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera untuk meraih peluang pasaran samada di peringkat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau kerajaan.
Kini, CWSB telah diberi mandat yang lebih besar sebagai enam peneraju program pemerkasaan usahawan Bumiputera bagi memastikan daya saing tinggi usahawan berkenaan.
Zuraida berkata, kerajaan komited untuk memastikan usaha pembangunan usahawan Bumiputera diterjemahkan dalam pelan jangka masa panjang melalui kerjasama strategik bersama pihak agensi kerajaan Persekutuan, agensi kerajaan Negeri, universiti awam serta industri.
Katanya, CWSB juga menerima peruntukan RM25juta dari kementerian dan tambahan RM10 juta bagi memperkasa industri perkayuan.
"Justeru, MoU antara CWSB dan pihak yang berkaitan pada hari ini akan menggambarkan tujuh komitmen semua pihak terhadap pembangunan keseluruhan rantaian ekosistem perkayuan termasuk golongan usahawan Bumiputera.
"Sebanyak tujuh MoU yang dimeterai ini bertujuan untuk memperkasakan penyertaan Bumiputera dalam industri kayu-kayan serta menggalakkan penggunaan produk kayu-kayan tempatan yang mapan.
"MoU ini juga akan membangunkan syarikat kayu-kayan Malaysia yang lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa melalui penyertaan dalam pameran atau program promosi serta kolaborasi dan promosi bersama pihak industri untuk produk kayu tempatan yang mampan," katanya.
Tujuh pemeteraian MoU membabitkan CWSB bersama MTIB bagi menggalakkan pembangunan industri perkayuan di Malaysia; CWSB bersama Universiti Putra Malaysia (UPM), MYTeakwood Holdings Sdn Bhd dan Green Afforestation International Network Sdn Bhd untuk melaksanakan pembinaan sebuah rumah prototaip dengan menggunakan bahan binaan Paulownia Cross Laminated Timber (CLT) bagi Industri Pembinaan berkonsepkan Ready to Install System (ReTIS).
Selain itu, MoU CWSB bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pula untuk pembangunan sokongan ekosistem di Muar Furniture Park (MFP) Teaching Factroy (TF), UTHM bagi membantu pembangunan industri perabot khususnya industri perabot di wilayah Selatan iaitu di daerah Muar yang menjadi penyumbang utama eksport perabot Malaysia.
CWSB juga bekerjasama dengan Langkawi Development Authority (LADA) untuk membangunkan lebih ramai usahawan Bumiputera dalam industri perkayuan dan ukiran di Langkawi; CWSB bersama Terengganu Timber Industry Training Center (TTITC) untuk meningkatkan kemahiran vendor bumiputera di bawah CWSB melalui latihan; CWSB bersama MFA Events untuk menggalakan penyertaan usahawan Bumiputera dalam program promosi dan pameran.CWSB bersama Persatuan Pengusaha-Pengusaha Kayu Kayan dan Perabot 11 Bumiputera Malaysia (PEKA) untuk membangunkan usahawan Bumiputera dalam industri produk perkayuan tempatan.
"Agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera akan terus diangkat sebagai Misi Nasional dan kerajaan sentiasa proaktif dalam mengukuhkan kedudukan usahawan Bumiputera agar mampu bersaing secara kompetitif di pasaran tempatan dan antarabangsa."Sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) bagi tujuh MOU ini adalah untuk raih nilai kontrak berjumlah RM50 juta bagi pasaran tempatan dan antarabangsa," jelas Zuraida.
Sumber: Berita Harian
Comments