KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) membantah rancangan pelebaran jalan dan pembinaan terowong di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) bernilai antara RM1.7 bilion hingga RM2.1 bilion, bermula Julai depan.
Presiden PEKA, Damien Thanam Divean, berkata projek di kawasan sensitif alam sekitar itu berisiko memburukkan bencana tanah runtuh dan banjir lumpur yang semakin meningkat di sekitar kawasan itu sejak dua dekad lalu.
Beliau turut mempersoalkan pelaksanaan projek itu memandangkan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang diuar-uarkan sebagai langkah penyelesaian kepada kesesakan di Lebuhraya KLK, sedang dibina dan dijangka siap tiga tahun lagi.
"Daripada jalan yang ada sekarang, sudah terlalu banyak malapetaka di kawasan itu akibat daripada aktiviti manusia di kiri kanan jalan.
"Dasar kerajaan sepatutnya menggalakkan orang ramai guna pengangkutan awam. Bukankah ECRL sedang rancak dibina dan diangkat sebagai jalan keluar kepada masalah kesesakan ini? Mengapa perlu tambah lorong dan bina terowong lagi di Lebuhraya KLK?
"Adakah kerajaan sudah siapkan analisis kos-manfaat? Jika ya, kenapa analisis ini tidak didedahkan kepada rakyat untuk menilai sendiri sama ada projek ini menguntungkan rakyat untuk jangka panjang atau sebaliknya," katanya kepada BH, hari ini.
Semalam, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan meluluskan peruntukan RM1.7 bilion untuk melaksanakan projek melebarkan lorong dan pembinaan satu terowong di Lebuhraya KLK, bertujuan mengurangkan kesesakan terutama pada musim perayaan.
Namun pada 19 Mei lalu, Abdul Rahman memaklumkan peruntukan diluluskan bagi projek itu adalah RM2.1 bilion, dijangka bermula Julai depan dan siap pada 2027, setahun selepas ECRL siap dibina.
Ia membabitkan pelebaran daripada tiga lorong kepada empat lorong sehala bagi Seksyen 1 dari Plaza Tol Gombak ke Bukit Tinggi, serta penambahan dua lorong kepada tiga lorong sehala bagi Seksyen 2 dari Bukit Tinggi ke Plaza Tol Bentong.
Projek yang akan dilaksanakan ANIH Berhad selaku pemegang konsesi Lebuhraya KLK itu juga membabitkan pembinaan terowong dua lorong baharu bersebelahan terowong sedia ada di laluan arah Timur, selain penyediaan lampu jalan di sepanjang jajaran berkenaan.
Bagaimanapun, Damien menegaskan peruntukan sekitar RM2 bilion itu tidak sepatutnya dikeluarkan kerajaan, sebaliknya ia perlu ditanggung sepenuhnya oleh ANIH Berhad.
Malah, beliau mempersoalkan kewajaran membelanjakan hampir RM2 bilion untuk mengatasi isu kesesakan yang hanya berlaku pada musim perayaan, dan bukan sepanjang tahun.
Selain itu, katanya, projek pelebaran laluan di Lebuhraya KLK juga akan memburukkan pencemaran alam sekitar dan pemanasan global, sekali gus memberi kesan buruk kepada kawasan hutan di sekitar lebuh raya itu.
"Jalan lebih luas akan menarik lebih banyak kenderaan menggunakannya. Ertinya lebih banyak pencemaran udara, manakala jalan yang dibina akan menyerap dan memantulkan haba ke atmosfera, sekali gus meningkatkan suhu di kawasan berkenaan.
"Kerajaan sepatutnya tambah baik pengangkutan awam, terutamanya kereta api sementara menunggu ECRL siap dibina. Jika jalan diluaskan tapi tiada perancangan perjalanan yang baik, akhirnya jalan itu akan sesak juga dan masalah tidak selesai," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments