top of page

Negeri Sembilan mohon Kerajaan Persekutuan lulus projek Lebuhraya MADANI


Gambar hiasan (Sumber: Minconsult Sdn Bhd)

PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan memohon kepada Kerajaan Persekutuan agar meluluskan projek Lebuhraya MADANI (Seremban – Kuala Pilah) bagi menangani masalah kesesakan di laluan berkenaan.


Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Jalan Seremban – Kuala Pilah sering mengalami kesesakan yang kritikal pada setiap hujung minggu dan cuti perayaan.


“Perkara ini telah dibangkitkan dalam pelbagai forum dan permohonan untuk menaiktaraf jalan ini mahupun membina jalan alternatif telah dipanjangkan beberapa kali kepada Kementerian Kerja Raya.


“Pada tahun lepas, Kementerian Kerja Raya telah melaksanakan Kajian Laluan Alternatif Jalan Seremban – Kuala Pilah (FT051) yang melibatkan koridor kajian di kawasan Kuala Pilah dan kawasan sekitarnya yang merangkumi kawasan Seremban dan Jempol.


“Kajian ini telah dimulakan pada Julai 2022 dan telah pun siap sepenuhnya pada Julai 2023,” kata Aminuddin.


Aminuddin berkata, objektif utama kajian ini dijalankan adalah untuk menentukan cadangan penyelesaian terbaik menerusi penilaian dari segi trafik, guna tanah, sosio ekonomi, penilaian alam sekitar dan penilaian impak sosial.


“Lanjutan daripada itu, Kementerian Kerja Raya telah mengangkat permohonan Projek Fizikal Cadangan Jalan Kuala Pilah Bypass (Dari Tanjung Ipoh Ke Kg. Gentam Tengah, Kuala Pilah) dalam Rolling Plan 5 (RP5), RMKe-12.


“Walau bagaimanapun, Cadangan Projek Laluan Alternatif Jalan Seremban – Kuala Pilah (FT051) masih belum dimuktamadkan pelaksanaannya.


“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri juga pernah mengumumkan pelaksanaan Projek Lebuhraya MADANI di jajaran yang sama semasa lawatan ke Felda Serting Hilir pada tahun lepas.


“Kerajaan Negeri Sembilan amat mengharapkan kelulusan Lebuhraya MADANI ini untuk menangani masalah kesesakan yang kini semakin runcing di jalan berkenaan,” ujar Aminuddin di Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) Bersama Kerajaan Negeri Sembilan di Lexis Hibiscus, Port Dickson.


Turut hadir memberi taklimat, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.


Sumber: Negeri Kita

Comments


bottom of page