top of page

Negeri rangka pelan pengurusan cerun, kenal pasti lebih awal lokasi bahaya


EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim meninjau kerja membaik pulih cerun di Jalan Genting Peras, Hulu Langat pada 3 Oktober 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

SHAH ALAM, 18 NOV: Pelan risiko dan bahaya cerun membabitkan jalan-jalan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) dijangka siap pada tahun depan, kata EXCO infrastruktur.


Ir Izham Hashim berkata kaedah tersebut memudahkan agensi berkaitan memantau serta mengenal pasti kawasan-kawasan cerun yang hampir runtuh.


“Selain itu, bagi kawasan yang tidak melibatkan jalan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) juga menyediakan peta bahaya dan risiko bagi seluruh Selangor.


“Peta ini akan memberi keutamaan kepada kawasan-kawasan bertanah tinggi terutamanya di Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.


Menjawab soalan wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berhubung langkah Kerajaan Negeri menangani masalah tanah runtuh, beliau menjelaskan sistem amaran awal (EWS) dipasang di beberapa lokasi kawasan cerun.


“Pihak JKR, JMG dan pihak berkuasa tempatan memasang sistem itu bertujuan memberi indikasi amaran awalan supaya persediaan dan tindakan susulan dengan segera dapat dilaksanakan dalam mengatasi masalah tanah runtuh.


“Pemakaian garis panduan perancangan pembangunan di kawasan bukit dan tanah tinggi antaranya dalam meletakkan syarat zon penampan bertujuan mengurangkan risiko dan bahaya cerun runtuh terhadap sesuatu pembangunan yang hendak dilaksanakan serta impak terhadap kawasan sekitar,” katanya.


Sebelum ini, Izham memaklumkan tatacara operasi piawai (SOP) pengurusan cerun seluruh negeri dijangka siap selewatnya Disember depan membabitkan dua komponen.


Jelasnya, SOP yang disediakan JMG akan dilaksana di semua pihak berkuasa tempatan supaya penjagaan cerun lebih baik.


Sumber: Sinar Harian

Comments


bottom of page