Seolah-olah seperti ada sesuatu tidak kena dengan ekonomi Malaysia apabila nilai ringgit semakin merudum berbanding dolar Amerika. Kita tentu tertanya-tanya mengapa ringgit terus menjunam, walaupun Menteri Ekonomi mengatakan prestasi ekonomi bertambah baik dengan inflasi menunjukkan unjuran penurunan kepada 3.1 peratus.
Ada pandangan berpendapat nilai ringgit tidak melambangkan kedudukan ekonomi sesebuah negara. Petunjuk lain seperti Kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK), jumlah hutang, defisit dan rizab negara perlu diambil kira.
Inflasi meningkat selepas COVID-19 disebabkan pengeluaran rendah, bukan bermakna permintaan dalam pasaran meninggi hingga perlu dinaikkan kadar faedah. Sebaliknya, pengeluaran menjadi rendah kerana banyak perusahaan dan perniagaan gulung tikar ketika pandemik.
Daripada menaikkan kadar faedah, sepatutnya kerajaan turunkan lagi supaya pemodal dan pengeluar dapat membuat pinjaman dengan faedah rendah dan perniagaan dapat dipulihkan, seterusnya pengeluaran dapat dipertingkatkan.
Tidak dinafikan kejatuhan ringgit tidak melambangkan kedudukan sebenar ekonomi, tetapi secara falsafahnya menunjukkan peranan Malaysia di mata dunia semakin terhakis.
Kedudukan negara dalam menarik pelaburan berimpak tinggi juga semakin hilang.
Ini menunjukkan ringgit tidak menjadi pilihan dalam transaksi perdagangan antarabangsa. Sebab utama tentulah akibat ketidakstabilan politik apabila Malaysia bertukar tiga Perdana Menteri dalam satu penggal.
Saya pernah mencadangkan dalam penulisan lalu supaya kerajaan mengeksport minyak sawit dan gas cecair asli dalam ringgit supaya nilainya dapat dipulihkan secara drastik, tetapi cadangan itu belum dilaksanakan mungkin kerana pelbagai alasan penghalang yang diberikan.
Namun, kita tidak boleh putus harapan. Hadirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemudi negara dengan dua pertiga majoriti akan memberikan kestabilan politik, seterusnya memacu dan memulihkan keyakinan pelabur kembali.
Setakat ini pelbagai pengumuman dilakukan, terutama pendekatan pembasmian rasuah dan tatakelola baik cuma hasilnya belum nampak secara tuntas. Pelaburan asing pula selain pengumuman pelaburan Amazon, belum menampakkan hasilnya secara tuntas. Anwar turut mengumumkan akan mengadakan perbincangan dengan Elon Musk bagi meningkat pelaburan di negara ini.
Tingkatkan pelaburan, aktiviti ekonomi
Sebenarnya, apa diperlukan negara ialah falsafah dan agenda baharu ekonomi Malaysia. Ya, melawan rasuah dan tatakelola baik itu penting tetapi apabila kita bercakap memacu ekonomi, kata kuncinya ialah peningkatan pelaburan dan aktiviti ekonomi aktif dalam negara.
Ini hanya dapat dimanifestasikan jika ada pengumuman projek berimpak tinggi mempunyai kesan rantaian kepada sektor ekonomi lain. Begitu juga dalam krisis ekonomi, yang perlu dilakukan adalah menggalakkan rakyat terus berbelanja dan suntikan dana kerajaan dalam pasaran supaya aktiviti ekonomi terus berdaya maju.
Menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) atas alasan mengikut langkah Amerika Syarikat (AS) adalah tindakan tidak bijak. Mengapa harus kita mengikut AS yang terpaksa menaikkan faedah kerana ingin menyelesaikan masalah mereka?
Kita tidak sepatutnya mengikut langkah itu atas alasan mengelakkan pengeluaran modal keluar disebabkan pemodal akan menyimpan wang di tempat menawarkan kadar faedah lebih tinggi. Ya, ia mungkin berlaku tetapi masalah rakyat Malaysia yang terpaksa membayar pinjaman dengan lebih banyak perlu diutamakan.
Disebabkan kenaikan OPR, duit boleh belanja rakyat menjadi menipis hingga membuatkan mereka tidak mahu berbelanja. Walhal ketika krisis, rakyat mesti terus berbelanja. Adalah suatu langkah kurang cerdik apabila berlakunya krisis, kita terus menyimpan duit dan tidak berbelanja kerana ini akan menjadi punca kelembapan perniagaan dan perusahaan dalam negara.
Kesannya, keuntungan perniagaan ini akan mengecil dan jika tidak bernasib baik perniagaan ini terpaksa mengurangkan pekerja, maka meningkatlah pengangguran. Meningkatnya pengangguran, maka akan meningkat kadar jenayah!
Bagi tujuan itu, kadar OPR sekarang 3 peratus sudah optimum dan menaikkannya lagi boleh meninggalkan kesan buruk kepada negara.
Justeru, untuk menarik pelaburan suasana dan polisi Malaysia mestilah menarik serta kondusif. Jika agenda ekonomi Malaysia masih di takuk lama dengan polisi tidak tetap dan tidak terurus, maka pelaburan tidak akan masuk malah akan terus menjauh.
Misalnya paling mudah polisi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semasa susah yang polisi ini berubah-ubah mengikut kecenderungan politik. Parti yang dulu memperjuangkan pengeluaran KWSP bagi memulihkan ekonomi isi rumah apabila menjadi kerajaan, menghalangnya pula.
Sepatutnya kita mempunyai polisi tetap mengenai hal ini, bukan hanya atas desakan politik semata-mata.
Oleh itu, saya mencadangkan Malaysia tidak bergantung kepada eksport komoditi semata-mata seperti minyak sawit dan gas cecair asli (LNG), tetapi perlu mengorak langkah dalam menumpukan ekonomi maritim.
Ekonomi maritim bermaksud penekanan meningkatkan kemudahan pelabuhan supaya kita menjadi pelabuhan serantau paling efektif dengan perkhidmatan pengurusan pelabuhan terpantas.
Sebagai negara maritim dan kedudukan Malaysia di Selat Melaka yakni laluan tersibuk di dunia menghubungkan Barat dengan Timur, Malaysia mesti meletakkan posisi sebagai negara pelabuhan terbaik di rantau ini.
Pelabuhan bertaraf dunia
Naratif ini mudah untuk Malaysia kerana dari segi faktor sejarah, kita bermula dari Kerajaan Srivijaya yang pernah menjadi kerajaan kuasa maritim yang hebat di dunia. Melayu itu sendiri memperkenalkan tempat tumpah darahnya sebagai 'tanah air' yakni keterikatan cukup erat dengan air.
Sebagai negara bergantung perdagangan antarabangsa yang kargo banyak diuruskan secara jalan laut, komponen terpenting ialah mempunyai pelabuhan bertaraf dunia, Pelabuhan baik mesti dihubungkan dengan sistem pengeluaran dalam negara, logistik, infrastruktur dan komunikasi baik serta bertaraf dunia.
Paling asas, kerajaan mesti membuat pelaburan meningkatkan kualiti jalan raya menghubungkan kawasan pengeluaran dengan pelabuhan. Jalan raya itu mesti besar, luar dan tidak sesak supaya lori dapat menghantar kargo dengan pantas dan efektif ke pelabuhan terdekat.
Cadangan saya, kerajaan perlu melaksanakan satu projek impak besar dalam menjana ekonomi maritim ini seperti projek infrastruktur terbesar dunia pelabuhan kapal ke kapal di had pelabuhan Johor Bharu.
Projek ini dicadangkan untuk dibangunkan melalui kaedah pembiayaan swasta, sekali gus dapat menempatkan pemilik kapal tangki antarabangsa. Ia dijangka berpotensi menjana sumber ekonomi baharu kepada Malaysia dengan anggaran pulangan KDNK RM400 bilion, seterusnya mewujudkan peluang 2,300 pekerjaan untuk rakyat. Ia juga berupaya membawa pelaburan asing ke dalam negara.
Malaysia memerlukan fokus kepada agenda ekonomi baharu. Saya berpegang kepada mantra sesuatu kerajaan tidak akan tergugat jika pengurusan ekonominya baik. Datanglah apa cabaran sekali pun, jika kerajaan dapat menakhodakan ekonomi dengan baik, ia tidak akan jatuh dan akan terus disokong rakyat.
Cadangan ini diyakini dapat memastikan pemulihan ekonomi negara dipacu lebih baik oleh Kerajaan MADANI.
Penulis adalah Pengerusi Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia.
Sumber: Berita Harian
Negara perlu fokus agenda ekonomi baharu, bukan hanya lawan rasuah
Comments