SHAH ALAM: Projek menaik taraf laluan Persiaran Mokhtar Dahari (B49) yang dibuka secara rasmi hari ini, dijangka membantu menyuraikan antara 30 hingga 40 peratus trafik di laluan terbabit.
Projek yang bermula Ogos 2016 dan siap sepenuhnya pada September tahun lalu itu dilaksana dengan kos RM111.5 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata projek memanfaatkan penduduk Sunway Kayangan, Kayangan Heights, Alam Budiman dan kawasan sekitar.
“Pada 2016, kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM150 juta kepada JKR negeri bagi melaksanakan kerja menaik taraf laluan B49 susulan aduan penduduk sekitar mengenai kesesakan jalan rata yang teruk serta tahap kualiti jalan raya bermasalah.
“Usaha naik taraf ini menyuraikan trafik antara 30 hingga 40 peratus dan ia diakui sendiri oleh persatuan penduduk.
“Kita harap projek ini dapat menyelesaikan banyak masalah terutama keadaan jalan kurang memuaskan sejak sekian lama.
“Projek ini tidak akan terhenti di sini kerana jajaran ini akan menghubung Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) kelak bagi memudahkan pergerakan pengguna jalan raya Shah Alam dan Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan perasmian majlis penyerahan laluan naik taraf B49 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Shahabuddin M Muhayidin dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim.
Amirudin berkata, projek itu adalah komitmen kerajaan negeri untuk memantapkan dan
meningkatkan pembangunan infrastruktur serta kemudahan asas di Selangor.
Sumber: Berita Harian
Comments