Pembinaan jalan raya lazimnya bermula daripada inisiatif pemerintah untuk memudahkan mobiliti dan mewujudkan jaringan antara lokasi serta memperluas rangkaian ekonomi, pemasaran komoditi dan hasil bumi.
Perkembangan asas keperluan rakyat seperti peningkatan tahap kesihatan dan pendidikan juga menjadi fungsi utama pembinaan jalan raya kerana ia berkait rapat dengan dasar kerajaan hari ini, iaitu 'Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat'.
Sejak jalan raya pertama dibina pada 1878 oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) menghubungkan sebuah perkampungan di Damansara dengan kawasan lombong di Kuala Lumpur sehinggalah ke hari ini, jalan raya digunakan saban hari dengan kekerapan berbeza atas pelbagai tujuan dan faktor.
Impak kewujudan jalan raya juga dapat dilihat dalam aspek pembangunan sosial apabila jurang atau kesenjangan sosial dapat dikurangkan dengan adanya kesalinghubungan antara kawasan bandar dan luar bandar mempunyai perbezaan demografi dan geografi.
Hubungan manusiawi dapat dikekal dan dieratkan apabila rangkaian jalan raya disediakan sangat selesa dan mampu menjimatkan masa. Buktinya lihat sahaja lautan kenderaan memenuhi jalan raya pada musim perayaan dan mod itu kekal menjadi pilihan utama rakyat Malaysia menghidupkan amalan 'balik kampung' walau di segenap pelosok negara.
Ini jelas menggambarkan infrastruktur jalan raya mempunyai fungsi dan impak besar kepada negara. Namun, terdapat juga satu aspek kurang diberi perhatian apabila berbicara perihal jalan raya, iaitu aspek keselamatan dan pertahanan negara.
Jalan raya adalah saksi bisu pelbagai rentetan peperangan antaranya tragedi penjajahan tentera Jepun di Tanah Melayu bermula pada 8 Disember 1941, mengeksploitasi jalan raya menjadi akses gelombang serangan tentera Jepun.
Menyedari strategi laluan darat digunakan tentera Jepun, tentera British membina banyak kubu dikenali sebagai Pill Box dilengkapi senjata bertujuan mempertahankan diri dan menyekat serangan musuh. Antara bukti peninggalan Pill Box boleh dilihat secara jelas adalah di Jalan Persekutuan FT03 Kota Tinggi-Mersing, Johor berhampiran kawasan Hutan Lipur Panti.
Ketika Perang Dunia Kedua itu juga jalan raya turut menjadi mangsa peperangan apabila beberapa jambatan di jalan persekutuan diletupkan bagi menyekat kemaraan serangan tentera Jepun antaranya Jambatan Buloh Kasap, Johor, Jambatan Gemas dan Gemencheh di Negeri Sembilan, terletak di jalan persekutuan FT01.
Tidak semua jalan raya perlu dianggap sebagai titik lemah pertahanan negara kerana terdapat satu jalan raya menjadi 'lebuh raya pertahanan', iaitu Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli atau jalan persekutuan FT04 menghubungkan Perak dan Kelantan di bahagian utara Semenanjung.
Matlamat pembinaannya pada masa itu adalah sebagai antara strategi melumpuhkan pergerakan pengganas komunis pada era pasca kemerdekaan Tanah Melayu. JRTB dibina bermula pada 1970 hingga 1 Julai 1982 ketika Era Darurat Kedua ancaman komunis terhadap kerajaan antara 1968 hingga 1989 khususnya di kawasan Gerik dan Pengkalan Hulu, Perak serta Baling, Kedah.
JRTB dibina atas keringat, pengorbanan
Ia idea serampang dua mata Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra di bawah Program Keselamatan dan Pembangunan (KESBAN) untuk sempadan Malaysia-Thailand bertujuan melumpuhkan gerakan dan kegiatan pengganas komunis, selain memendekkan perjalanan antara timur dan barat serta membangunkan kawasan luar bandar.
JRTB dilaksanakan sepenuhnya kakitangan JKR adalah pahlawan negara tidak didendang kerana perjuangan mereka dalam menyiapkan pembinaan jalan raya ini sangat berisiko dan memerlukan semangat keberanian tinggi.
Mereka tidak hanya menumpahkan keringat malah darah berikutan beberapa siri serangan hendap pengganas komunis terhadap mereka. Serangan berlaku pada 1974 ketika pekerja diiringi pasukan tentera diserang hendap pengganas komunis ketika dalam perjalanan dari khemah induk di Gerik menuju ke Banding, Perak, menjadi peristiwa hitam paling tragis.
Dalam serangan itu tiga orang terkorban, manakala empat orang pekerja cedera dikejarkan ke Hospital Besar Ipoh untuk menerima rawatan dan 68 jentolak diletupkan pada tahun sama bagi menghalang kerja pembinaan JRTB diteruskan.
Susulan siri sabotaj pihak pengganas komunis ini, kos pembinaan JRTB meningkat empat kali ganda menjadikan kos keseluruhan projek berskala mega ini bernilai RM205 juta.
Usai kerja pembinaannya, JRTB hanya boleh dilalui pada jam 7 pagi hingga 6 petang atas faktor keselamatan dan hanya dibuka tanpa sekatan selepas Perjanjian Damai Hatyai antara kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM) ditandatangani pada 2 Disember 1989.
Sesungguhnya pengorbanan generasi terdahulu menjadi peninggalan termahal kepada kita demi untuk menikmati keselamatan dan keselesaan pemanduan sambil membelah hutan tebal di Banjaran Titiwangsa dan Banjaran Bintang ini.
Sementara itu, Kempen MYJalan dipilih sebagai inisiatif kerajaan dilaksanakan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam memupuk rasa cinta kepada infrastruktur jalan raya yang lama menjadi nadi penggerak rakyat dan ekonomi.
Aplikasi MYJalan dan advokasi penyenggaraan serta keselamatan jalan raya adalah pengisian utama Kempen MYJalan sebagai langkah memperkenal dan memberi kesedaran kepada rakyat untuk lebih prihatin terhadap aspek penjagaan jalan raya seluruh negara.
Advokasi ingin dibawa KKR seharusnya membangkitkan kesedaran awam mengenai jenis jalan raya, perbezaan jalan raya, tatacara kerja penyenggaraan dan menggalakkan rakyat melaporkan aduan kerosakan jalan serta perabot jalan melalui saluran aduan betul.
Ini secara tidak langsung menyumbang kepada perasaan sense of belonging atau sifat kepunyaan di setiap jiwa rakyat. Apabila kesedaran awam ini diperluas menerusi hebahan media sosial dan aktiviti libat urus di beberapa kawasan dan organisasi sudah dikenal pasti, pengguna jalan raya akan lebih mengenali, bertanggungjawab dan menyayangi infrastruktur jalan raya.
KKR juga menyediakan satu sistem aduan bagi menggalakkan rakyat Malaysia menggunakan sistem itu sebagai antara saluran aduan bagi memastikan kerosakan jalan raya atau perabot jalan dibaik pulih. Pembangunan aplikasi MYJalan bakal menjadi platform aduan setempat bagi memudahkan pengguna membuat aduan walaupun jalan itu bukan diselenggara KKR selaras dengan prinsip No Wrong Door Policy.
Satu lagi aspek penting Kempen MYJalan ini ialah penumpuan terhadap penambahbaikan sistem pemantauan penyenggaraan jalan ke atas semua syarikat konsesi diberi amanah dan tanggungjawab kontrak menyenggara. Setiap ringgit diperuntukkan kerajaan harus dijelmakan dengan hasil mematuhi spesifikasi dan kualiti penyenggaraan demi keselamatan serta an keselesaan pengguna.
Jelas di sini, peranan menjaga warisan infrastruktur negara ini seharusnya dilaksanakan secara bersama semua warga. Bersempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 tahun ini, kita seharusnya matang dalam menghargai jalan raya yang setia untuk memberi kelangsungan khidmatnya kepada kita.
Penulis adalah Menteri Kerja Raya
Sumber: Berita Harian
MyJalan didik pengguna kenali, sayangi infrastruktur jalan raya
Comments