Kota Bharu: Penduduk Kampung Pantai Kundor di sini, lega apabila kediaman mereka terselamat daripada dilanda fenomena air pasang besar berikutan pembinaan benteng penahan ombak di kampung itu.
Hampir 10 rumah yang dihuni lebih 50 penduduk di kampung itu menerima manfaat daripada pembinaan benteng penahan ombak itu sekali gus dapat mengelak banjir besar berlaku.
Suri rumah, Ramlah Yaakob, 45, ketika fenomena air pasang besar minggu lalu, kawasan perkampungan itu hanya dinaiki air setinggi 0.3 meter sahaja.
"Jika tiada benteng penahan ombak itu, mungkin air akan naik lebih tinggi, lebih-lebih lagi musim ini angin sangat kuat dan ombak juga besar.
"Alhamdulillah, air hanya masuk hingga ke halaman rumah sahaja, meskipun kediaman dengan jarak pantai hanya 10 meter sahaja," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Penduduk, Hayati Yaakob, 40, berkata, meskipun benteng penahan ombak yang dibina lebih empat tahun itu mampu mengelak banjir besar berlaku, mereka masih mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan tahun ini berlakunya hujan diiringi angin kuat.
"Kami hanya bimbang jika berlakunya air pasang besar sahaja, namun setakat ini rumah kami selamat dan berharap benteng penahan ombak itu dapat bertahan lama," katanya.
Sumber: Harian Metro
Comments