KUALA LUMPUR - Besi penyambung jejambat yang tercabut di KM 50.6 Lebuhraya Kesas arah Shah Alam menyebabkan sekurang-kurangnya dua kereta mengalami tayar pecah, pada Ahad lalu.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia berkata, kejadian yang berlaku di jambatan Sukom di Kilometer 50.6 arah Shah Alam dilaporkan jam 9.15 pagi dan telah dibaiki sebaik menerima maklumat.
"Tindakan pembaikan telah dijalankan serta merta dan siap sepenuhnya jam 12.00 tengah hari pada hari yang sama sebelum laluan dibuka semula kepada orang awam," katanya.
Menurutnya, kejadian seumpama ini adalah kejadian yang terasing (isolated) yang berlaku di lebuh raya.
"Siasatan awal mendapati sebuah lori telah melanggar besi penyambung jambatan itu sehingga tercabut dan beralih dari kedudukan asal.
"Dua buah kenderaan ringan yang melanggar besi itu mengalami kerosakan tayar pecah namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan mangsa telah membuat aduan menerusi talian hotline dan emel," katanya.
Susulan itu katanya, sebanyak 15 panggilan diterima daripada hotline Sukom melaporkan aduan dan kesesakan trafik sehingga jam 12.00 tengah hari.
"Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) telah meningkatkan kekerapan pemantauan di tempat insiden berlaku," katanya.
Terdahulu tular video di laman sosial Facebook Bukit Jalil Malaysia, menunjukkan besi melintang jalan itu tercabut dan dilanggar beberapa kenderaan yang tidak sempat mengelak.
Turut dikongsi, seorang pemilik kenderaan yang terpaksa berhenti di bahu jalan selepas tayar belakang kereta pancit dengan kesan kerosakan selepas melanggar besi tersebut.
Beberapa minit kemudian, kontraktor jalan tersebut telah mengambil tindakan dengan membaiki kerosakan dan menurap jalan berlubang seperti dikongsi oleh Blog Jalan Raya Malaysia.
Rata-rata netizen memuji langkah pantas diambil pihak terlibat sebaik kes itu dihebahkan.
Pengguna boleh menghubungi talian hotline Sukom di talian 1 300 88 9922 untuk melaporkan sebarang kejadian jika berdepan situasi sama.
Sumber: Sinar Harian
Comments