KUALA LUMPUR: Subsidiari milik penuh Mudajaya Group Bhd, Mudajaya Corp Bhd (MCB) melaksanakan satu artikel perjanjian dengan MRCB George Kent Sdn Bhd (MRCBGK) berikutan pelantikannya sebagai kontraktor 'turnkey' bagi projek Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).
Mudajaya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata projek itu merangkumi kerja-kerja pembinaan dan penyiapan laluan LRT3 dari Bandar Utama, Petaling Jaya ke Johan Setia, Klang.
"Penyemakan semula projek ini merangkumi perubahan reka bentuk dan skop projek LRT3, yang mana harga kontrak yang disemak semula telah dipersetujui pada RM655 juta," katanya.
Ia juga menyatakan bahawa tarikh siap untuk projek LRT3 adalah menjelang 30 November 2023, berbanding tarikh sebelum ini iaitu Februari 2021.
Artikel persetujuan itu adalah selaras dengan perjanjian novasi yang dimulakan antara Mudajaya dan MRCBGK pada 22 Februari 2019.
Ia menyatakan bahawa semua hak, kepentingan, faedah, tanggungjawab, tugas dan liabiliti pemaju rel Prasarana Malaysia Bhd di bawah projek LRT3 hendaklah dipindahkan dan disampaikan daripada Prasarana ke MRCBGK. – Bernama
Sumber: Berita Harian
Comments