KUALA LUMPUR – Projek MRT Laluan Lingkaran (MRT3), Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) akan menjalankan proses pemeriksaan awam untuk mendapatkan maklum balas daripada orang ramai.
Bermula 2 September sehingga 2 Disember 2024, pemeriksaan awam yang akan berlangsung selama tiga bulan ini, memberi peluang kepada orang ramai untuk menyemak dan memberikan maklum balas mengenai cadangan jajaran, pelan konteks dan tapak, serta butiran projek.
Laluan Lingkaran (MRT3) yang kini masih di peringkat perancangan, bakal membentuk sebuah laluan orbital yang akan menghubungkan rangkaian pengangkutan awam Lembah Klang sedia ada, serta meningkatkan mobiliti dan kelancaran perjalanan bagi penduduk bandar yang populasinya semakin meningkat.
Melingkari perimeter bandar sepanjang 51 kilometer, MRT3 bakal disepadukan dengan laluan MRT, LRT, KTM dan monorel yang sedia ada melalui 10 stesen pertukaran dan sambungan di lokasi-lokasi strategik.
MRT3 bakal menawarkan laluan alternatif dengan masa perjalanan serta jarak yang lebih pendek ke destinasi-destinasi utama menerusi pelbagai titik integrasi di sepanjang jajaran, serta menyediakan ketersambungan penting ke kawasan bandar yang kurang mendapat perkhidmatan rel.
Selaras dengan Seksyen 84 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, pemeriksaan awam selama tiga bulan ini akan menampilkan maklumat terperinci mengenai laluan MRT3, termasuk peta cadangan jajaran, pelan tapak dan butiran projek.
MRT Corp akan menjalankan pemeriksaan awam di 35 lokasi yang ditetapkan di seluruh Lembah Klang, ini termasuk 8 lokasi bagi Kios Informasi MRT dan 27 lokasi bagi Trak Informasi MRT.
Orang ramai yang ingin mendapatkan jadual penuh serta lokasi pemeriksaan awam MRT3 boleh mendapatkannya di Laman Mikro Pemeriksaan Awam di www.mymrt.com.my.
Bagi mereka yang tidak dapat melawat lokasi pemeriksaan awam, butiran projek serta maklumat berkaitan yang lain boleh diakses melalui melalui Laman Mikro Pemeriksaan Awam yang tertera di atas.
Orang ramai juga boleh mengemukakan maklum balas melalui laman web tersebut sepanjang tempoh tiga bulan.
Sumber: Malaysia Gazette
MRT Corp jalankan pemeriksaan awam MRT3 selama tiga bulan
Comments