JABATAN Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menutup sementara Taman Eko-Rimba (TER) Mossy Forest selain menghentikan sementara aktiviti mendaki Gunung Irau, Cameron Highlands bermula semalam hingga 25 September ini.
Penutupan itu bagi tujuan penyelenggaraan jalan sepanjang 4.9 kilometer (km) ke kawasan berkenaan yang dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Cameron Highlands.
Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) JPNP Regina Mariah Jong berkata, penutupan TER Mossy Forest dan aktiviti mendaki Gunung Irau perlu dilakukan bagi melancarkan kerja penyelenggaraan jalan ke dua lokasi terbabit.
"Sudah tiba masanya kerja penyelenggaraan jalan dilakukan dalam usaha memberi lebih keselesaan kepada pengunjung.
"Aatara 200 hingga 300 pengunjung datang ke TER Mossy Forest setiap hari dan jumlahnya bertambah sekali ganda pada hujung minggu dan cuti umum," katanya hari ini.
Menurut beliau, pengunjung turut berpeluang berjalan diatas laluan kayu sepanjang 200 meter dan menikmati pemandangan unik pelbagai jenis pokok.
Tarikan utama di Mossy Forest ialah lumut yang banyak terdapat pada batang pokok dan tunggul kayu.
"Menara turut disediakan bagi memberi peluang kepada pengunjung melihat pemandangan Gunung Irau yang diselaputi kabus malah udara segar serta keadaan sejuk menambahkan lagi keseronokan di lokasi berkenaan," katanya.
Beliau berkata, pada Mac hingga Disember 2019, 73,586 pelancong berkunjung ke Mossy Forest dan ia memberi pendapatan RM940,895 kepada JPNP menerusi kutipan pintu masuk.
Regina berkata, jumlah pengunjung ke Mossy Forest tahun ini berkurangan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun kehadiran pelancong bertambah selepas kerajaan memberi kelonggaran perjalanan.
Sumber: Harian Metro
Comentarios