top of page

Momentum lebih positif


Kuala Lumpur: Bursa Malaysia Bhd menjangkakan pasaran saham tempatan berkembang kukuh tahun ini disokong pendapatan positif sektor korporat dan keyakinan pelabur terhadap dasar kerajaan.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Tajuddin Atan berkata, secara dasarnya ekonomi global masih berdepan ketidaktentuan namun kepelbagaian sektor ekonomi dan asas pelabur akan menyokong pertumbuhan pasaran saham tempatan.


“Saya percaya, ekonomi kita tidak begitu teruk... kerajaan ketika ini baru saja menjalankan tanggungjawabnya memperbetulkan kedudukan kewangan, ia perlu dihormati.


“Ramai peserta industri infrastruktur terkesan pada tahun lalu, begitu juga syarikat pembinaan. Kami percaya jika semua ini kembali stabil, terdapat pertumbuhan positif.


“Ketika ini kita masih lagi menunggu dasar oleh kerajaan untuk memberi isyarat jelas kepada pelabur. Kami jangka tahun ini akan lebih baik berbanding tahun lalu,” katanya selepas mengumumkan keputusan kewangan tahun 2018 syarikat itu di sini, semalam.


Bursa Malaysia mencatatkan keuntungan bersih RM224 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, meningkat 0.4 peratus berbanding RM223 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.


Sementara itu, Tajuddin berkata, Bursa Malaysia memperuntukkan perbelanjaan modal RM30 juta setahun bagi tempoh tiga tahun bermula tahun ini untuk meningkatkan aktiviti pasaran saham tempatan.


“Tahun ini, kita akan saksikan beberapa penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia di mana setakat ini, dua di Pasaran ACE dan dua lagi di Pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP).


“Kita harap, beberapa syarikat yang diluluskan penyenaraiannya tahun lalu namun menundanya, berkemungkinan besar kembali semula tahun ini. Setakat ini, dari segi saiz dan jumlah syarikat yang disenaraikan, diharap lebih baik berbanding tahun lalu,” katanya.


Mengulas mengenai pasaran modal Islam, Tajuddin berkata, Bursa Malaysia menjangkakan lebih banyak peserta dan pelabur menyertai platform Bursa Malaysia-i menerusi pelbagai insiatif dan pendekatan yang dilaksanakan.


Sumber: Harian Metro


Comments


bottom of page