KUALA LUMPUR: Mohd Zaid Zakaria dilantik sebagai Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menggantikan Datuk Ahmad 'Asri, berkuat kuasa 1 September lalu.
CIDB dalam kenyataan hari ini, berkata pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Ahmad yang menamatkan perkhidmatan kontrak pada 30 Ogos lalu, selepas berkhidmat selama 38 tahun di sektor awam.
Mohd Zaid sebelum ini, pernah ditugaskan untuk merangka dasar dan hala tuju bersesuaian bagi CIDB dalam menerajui industri pembinaan negara.
Beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana Sains Kejuruteraan Awam (Kejuruteraan Pembinaan dan Pengurusan Projek) dari Oklahoma State University, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Ukur Bahan dari Liverpool Polytechnic, United Kingdom.
"Mohd Zaid adalah Timbalan Ketua Eksekutif I CIDB dan berkhidmat selama 22 tahun, selain mengetuai Sektor Pembangunan Teknologi, Sektor Kontraktor dan Levi, Sektor Penguatkuasaan.
"Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah CIDB Selangor, selain berkhidmat dengan kerajaan dan terbabit dalam industri pembinaan lebih 34 tahun, termasuk sebagai Juruukur Bahan di Jabatan Kerja Raya, selama 14 tahun.
"Mohd Zaid juga aktif memberikan sumbangan kepada badan profesional seperti Lembaga Juruukur Bahan Malaysia (LJBM) dan The Royal Institution of Suveryors Malaysia (RISM)," katanya.
Sumber: Berita Harian
Mohd Zaid dilantik Ketua Eksekutif CIDB yang baharu
Comments