top of page

MMHE dapat kontrak RM1.4 bilion


Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE)
Kemudahan MMHE di Pasir Gudang

Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE)

Kuala Lumpur: Subsidiari milik penuh Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB), Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE) telah mendapat kontrak bernilai RM1.4 bilion daripada Carigali-PTTEPI Operating Company Sdn Bhd (CPOC).


MHB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata kontrak itu menuntut pelaksanaan penyediaan kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pemasangan (EPCI) lima platform kepala telaga, lima saluran paip dasar laut serta tambatan hos.


"Kontrak EPCI adalah bagi Projek Pembangunan Lapangan Kawasan Pembangunan Bersama (JDA) (Fasa 6) yang terletak di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA).


"Skop kerja kontrak melibatkan pembinaan lima platform kepala telaga dan apabila siap kelak, platform berkenaan akan dipasang pada kedalaman air antara 55 meter serta 65 meter di kawasan di bawah B-17-01 selatan Teluk Thailand, luar pantai Thailand dan Malaysia," katanya.


Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MHB, Pandai Othman berkata ini merupakan kejayaan ketiga utama selepas memenangi dua projek dalam tempoh satu tahun lepas iaitu projek Rosmari-Marjoram dan Penangkapan serta Penyimpanan Karbon Kasawari (CCS) masing-masing daripada Shell dan Petronas.


Beliau berkata perkembangan baharu itu menandakan pemulihan industri minyak dan gas di rantau ini selepas tempoh kelembapan akibat pandemik.


"Kami bersedia untuk memasuki tempoh industri yang sibuk dengan mengaktifkan semula East Yard sebagai tindak balas segera dan bersedia bagi permintaan yang akan datang.


"Kami berbesar hati diberi kepercayaan untuk mendapat projek penting daripada CPOC selain menyumbang kepada kejayaan hubungan diplomatik yang berkekalan antara Thailand dan Malaysia," katanya.


Sumber: Harian Metro


Comments


bottom of page