KUALA LUMPUR – Minggu Pembinaan Antarabangsa 2024 (ICW) yang bakal diadakan pada 22 hingga 24 Oktober depan diunjur menjana potensi jualan sehingga RM1 bilion.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sasaran itu dapat dicapai menerusi sesi pemadanan perniagaan antarabangsa.
“Kadar jualan semasa tahun lalu adalah dalam RM500 juta dan tahun ini kita sasarkan tinggi sedikit melebihi RM1 billion.
“Kita sasarkan nilai jualan tinggi sebab kita yakin dengan keadaan industri dan keadaan sektor pembinaan di negara ini buat masa sekarang,” katanya dalam sidang media selepas majlis pra-pelancaran ICW dan Bangunan Antarabangsa Malaysia (BuildXpo 2024), hari ini.
ICW2024 adalah anjuran Bersama BuildXpo 2024 dijangka menarik 25 pembeli daripada 10 pasaran termasuk China, Thailand, Indonesia, Singapura, Rusia, Zambia, Zimbabwe, Korea, Jepun, dan India.
“Kita harap dapat menarik lebih banyak negara-negara untuk mengambil bahagian dalam pameran dan sebagainya.
“Jadi ini adalah di peringkat antarabangsa, kita berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar dapat merasmikan persidangan ini pada Oktober,” katanya.
ICW dan BuildXpo secara kolektif mencatatkan unjuran jualan berjumlah RM494.3 juta, yang mana RM376.5 juta diperoleh daripada lawatan perdagangan dan RM117.8 juta daripada aktiviti padanan perniagaan antarabangsa.
Sumber: Malaysia Gazette
Minggu Pembinaan Antarabangsa 2024 sasar jualan RM1 bilion
Comments