KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan mengenal pasti dan membantu syarikat tempatan yang berminat bekerjasama dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) dalam Projek Pemecut Ekonomi (EAP) di sepanjang koridor Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Ia berdasarkan kepada Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara MIDA, sebagai agensi penggalakan pelaburan utama negara dengan CCCC sebelum ini.
MIDA dalam kenyataannya hari ini berkata, EAP itu antara lain termasuk pembangunan sebuah taman perindustrian di pantai timur dan pantai barat Semenanjung Malaysia untuk menarik pelaburan serta perdagangan di sepanjang koridor ECRL.
“Ini turut membabitkan penubuhan hab logistik di stesen-stesen pertukaran pengangkutan bagi menggalakkan sambungan dan penghantaran barang di bawah projek ECRL.
“Selain itu juga, stesen-stesen pembangunan berorientasikan transit (TOD) untuk menggalakkan pembangunan baharu dan juga menyokong pertumbuhan taman industri,” katanya.
MIDA berkata, MoU itu akan memudah cara kerjasama dengan penubuhan syarikat tujuan khas (SPC) antara CCCC dan syarikat Malaysia yang berminat bagi pembangunan EAP.
“CCCC akan melaksanakan kajian daya maju, perancangan pembangunan dan strategi pemasaran, termasuklah pelaburan ke dalam projek.
“MIDA, melalui rangkaian promosinya akan memudah cara peruntukan tanah yang bersesuaian bagi pembangunan projek,” katanya.
Di bawah MoU itu, tiada hak eksklusif tanah ditentu atau diserahkan kepada mana-mana pihak. Dasar berkaitan tanah adalah di bawah kawalan pihak berkuasa negeri.
Syarat-syarat akan dikenakan oleh pihak berkuasa negeri berkaitan yang mengendalikan hal-hal tanah, seperti pejabat Tanah dan Galian, bergantung kepada kategori tanah yang dipohon.
Tanah yang dirizabkan untuk Bumiputera dan penduduk asal tidak boleh dimiliki oleh pihak asing.
Mei lalu, MIDA menubuhkan Unit ECRL sebagai pusat rujukan khas bagi memudah cara dan menggalakkan pelaburan di sepanjang koridor ECRL.
Unit itu kini sedang menjalani libat urus bersama negeri-negeri terbabit dan pihak yang berminat bagi memberikan maklumat serta mempromosikan EAP.
Sumber: Berita Harian
Comments