KUALA LUMPUR: Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE), anak syarikat milik penuh Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB), memperoleh kontrak daripada Sarawak Shell Bhd (SSB) bagi melaksanakan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) di platform luar pesisir untuk projek gas Rosmari-Marjoram, di luar pantai Sarawak.
MHB dalam satu kenyataan berkata, EPC yang terletak di luar pesisir Malaysia itu akan terdiri daripada bahagian atas platform, 'jacket' empat kaki dan cerucuk.
Selepas siap, platform itu akan dipasang pada kedalaman air 140 meter (m) dalam kawasan SK318, di luar pantai Bintulu, Sarawak.
Menurut MHB, platform tanpa pemandu itu akan dikuasakan terutamanya oleh tenaga boleh diperbaharui iaitu daripada panel solar.
"Dengan hayat reka bentuk selama 20 tahun, ia akan menampung sehingga 800 juta kaki padu gas standard setiap hari sebagai permulaan pada 2026 dengan membekalkan gas asli ke Kompleks LNG PETRONAS di Bintulu, Sarawak," katanya.
Projek gas Rosmari-Marjoram kini diusahakan oleh SSB (Pengusaha Blok SK318) dan PETRONAS Carigali Sdn Bhd.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MHB, Pandai Othman, berkata penganugerahan projek itu bukan sekadar satu lagi pencapaian dalam kontrak syarikat, malah menandakan perkongsian kukuh dan berkekalan dengan SSB dalam beberapa tahun akan datang.
"Dengan pengumuman Keputusan Pelaburan Akhir oleh SSB untuk projek berkenaan 5 September lalu, diikuti pemberian kontrak ini kepada MHB, ia menandakan permulaan pemulihan industri minyak dan gas di Malaysia yang telah lama terhalang akibat pandemik serta kelembapan ekonomi menyebabkan pengendali lebih berhati-hati dalam perbelanjaan modanya untuk pembangunan baharu.
"Selain daripada matlamat utama kami untuk menyiapkan projek ini dengan selamat dan tepat pada masanya, kami berbesar hati untuk menyatakan bahawa projek ini sejajar dengan komitmen kami dalam menyediakan penyelesaian tenaga yang lebih bersih menerusi penggunaan tenaga boleh diperbaharui untuk menggerakkan platform.
"MHB telah pun memulakan hala tuju lestari dengan menyepadukan amalan mampan ke dalam perniagaan dan membuat keputusan kami untuk memastikan kami beroperasi secara bertanggungjawab," katanya.
Pandai berkata, menerusi projek itu, MHB akan memperhebatkan lagi aspirasi untuk menyokong semua pemegang kepentingannya terutama Shell dan PETRONAS, ke arah merealisasikan agenda pelepasan karbon sifar bersih.
Sumber: Berita Harian
Comments