top of page

Merakyatkan Bandar Malaysia usaha yang baik


Gambar hiasan

ALOR SETAR - Usaha kerajaan merakyatkan Bandar Malaysia pasti melegakan ramai pihak, khususnya rakyat.


Pensyarah Kanan Perniagaan Antarabangsa, Sekolah Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr. Mohd Azwardi Md Isa berkata, Bandar Malaysia yang bertapak di Sungai Besi, Kuala Lumpur disertakan elemen 'rakyat' antaranya 10,000 unit rumah mampu milik, tempat rekreasi awam dan penggunaan sumber dan bahan tempatan dalam pembinaan projek itu pasti menggembirakan rakyat.


Menurutnya, malah ia juga bakal menjadi mercu tanda baharu negara seiring dengan Putrajaya, Cyberjaya, Menara Berkembar Petronas dan KLIA.

"Susulan keputusan mesyuarat Kabinet pada 17 April, hasrat ini bakal menjadi realiti pada masa terdekat," katanya.


Dr. Mohd Azwardi berkata, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut yakin projek ini bakal menarik pelabur terdiri daripada institusi kewangan ternama, syarikat multinasional dan syarikat utama dunia yang tersenarai dalam Fortune 500 adalah sangat tepat, berasas dan berpandangan jauh.


"Atas dasar itu kerajaan berpendapat menyambungkan Bandar Malaysia dengan satu lagi projek, iaitu projek Keretapi Berkelajuan Tinggi atau High Speed Rail (HSR) adalah perlu," katanya.


Menurutnya, kepentingan Bandar Malaysia akan menjadi lebih penting jika dilihat dari kesan limpahan ekonomi Singapura.


"Singapura adalah sebuah negara maju dengan pendapatan perkapita antara tertinggi di dunia. Menjadi pusat kewangan terpenting serantau di Asia, banyak syarikat kewangan dunia berpusat di Singapura. Selain itu, mengkhusus dalam rekabenuk industri dan lukisan teknikal, Singapura sendiri mempunyai matlamat menjadi hub rekabentuk Asia," katanya.


Dr. Mohd Azwardi berkata, selari dengan matlamat itu, sudah tentu Malaysia mempunyai kelebihan dari segi sumber manusia, tanah dan bahan mentah menjadikan negara ini sebagai lokasi terbaik untuk industri pembuatan, pengilangan dan pemasangan yang mana rekabentuk produk dibuat di Singapura.


"Peluang pekerjaan mahir dan separuh mahir dapat diwujudkan dengan banyak. Malah dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadi negara maju pada masa depan," katanya.


Bagaimanapun katanya, bagi mencapai sasaran itu, kebajikan rakyat seharusnya dijadikan tumpuan dalam perancangan Bandar Malaysia ini.

"Keberkesanan kementerian melalui agensi terlibat harus dioptimakan. Antaranya Kementerian Pembangunan Usahawan, Sumber Manusia, Hal-Ehwal Ekonomi, Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Pendidikan harus terlibat secara eksklusif dalam projek Bandar Malaysia dan HSR ini," katanya.


Dr. Mohd Azwardi berkata, Kementerian Pendidikan juga perlu mengenalpasti kursus- kursus penting pada masa depan dalam konteks Bandar Malaysia ini.


"Mewujudkan pusat pengajian khasnya industri dan teknikal yang disambungkan dengan jajaran Bandar Malaysia dan HSR mampu beri nilai tambah kepada rakyat. Kawasan industri kecil juga mungkin perlu diwujudkan selain kawasan industri berteknologi tinggi," katanya.


Tambahnya, pengumuman projek mega Bandar Malaysia amat ditunggu-tunggu rakyat, terutama bagi memecah kebuntuan mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta mewujudkan pemangkin baru dalam ekonomi Malaysia.


"Bandar Malaysia mampu menjadi sebahagian penyelesaian jangka panjang ekonomi dan seharusnya rakyat berterima kasih atas inisiatif kerajaan ini," katanya.


Sumber: Sinar Harian


Comments


bottom of page