top of page

Menteri wilayah digesa campur tangan masalah tapak simen di Sentul


Menteri wilayah digesa campur tangan masalah tapak simen di Sentul

Beberapa penduduk sekitar Sentul hari ini menggesa Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad memberi perhatian pada tapak simen milik sebuah syarikat yang beroperasi di Sentul sejak 10 tahun lalu.


Mewakili penduduk, Ketua Cabang PKR Bukit Bintang, N Shanmugam, berkata tapak simen milik syarikat YTL Corp yang beroperasi di pusat bandar mengancam keselamatan pengguna jalan raya khususnya pelajar sekolah.


Tambahnya, simen yang terjatuh dari lori di atas jalan raya turut mengakibatkan berlakunya banyak kemalangan.


"Sebanyak lima sekolah terletak dalam radius kurang 100 meter daripada tapak simen tersebut.


"Ibu bapa sentiasa resah dan takut dengan keselamatan anaknya selepas waktu sekolah habis kerana lori berat sering ulang-alik menggunakan jalan raya yang sama digunakan oleh pelajar.


"Anak saya turut belajar salah satu sekolah berhampiran dan lori-lori ini sering ulang-alik menakutkan kami untuk menunggu mengambil anak di tepi jalan. Malah, pernah ada seorang ibu mati selepas dilanggar lori," katanya merujuk kerjadian pada 2013 apabila seorang wanita maut digilis sebuah lori simen di hadapan Sekolah Kebangsaan Convent Sentul 1 & 2.


Isu berkaitan tapak simen milik YTL Corp itu merupakan isu berlarutan yang pernah dibangkitkan pada 2013 oleh Tian Chua yang merupakan anggota parlimen Batu ketika itu.

YTL Corp bagaimanapun enggan menghentikan operasi atau memindahkan tapak simen berkenaan dan menyifatkan pihaknya hanya menjadi mangsa tuduhan pemimpin pembangkang politik ketika itu.


Tinjauan Malaysiakini mendapati tapak simen yang dimaksudkan terletak di pusat bandar Sentul.


Selain lima sekolah, pasar Sentul, dua kuil, satu gereja dan beberapa kawasan perumahaan turut terletak berhampiran tapak tersebut yang mempunyai dua laluan masuk yang terletak kurang 100 meter dari sekolah.


Pencemaran

Seorang lagi penduduk tempatan K Thambiraja berkata, sejak kebelakangan ini, syarikat tersebut turut mengumpulkan sisa simen di tapak berkenaan bagi tujuan kitar semula dan dibimbangi mencemari alam sekitar.


"Saya percaya debu daripada waste cement tersebut berterbangan masuk ke kediaman penduduk dan sekolah berhampiran mengganggu kesihatan mereka. Penyakit seperti batuk, selesema, sakit tekak, gatal mata dan sebagainya menghantui mereka terutama anak kecil," jelasnya.

Tambahnya, tapak simen tersebut juga tidak membawa apa-apa manfaat atau keuntungan kepada penduduk.


"Kami nak menteri turun ke sini untuk membuat tinjauan sendiri," katanya sambil turut meminta Ahli Parlimen Batu P Prabakaran supaya segera membawa isu ini ke perhatian menterinya.


Menurut Shanmugam, beliau bersama penduduk tempatan masih gagal untuk mendapatkan temujanji dengan Prabakaran bagi membincangkan isu berkenaan.


"Sudah tiga minggu, kami menunggu untuk mendapatkan temujanji dengan Prabakaran. Nampaknya, beliau sangat sibuk," katanya lagi.


MP Batu janji cuba cari penyelesaian

Sambil berkongsi keresahan Shanmugam, D Tharmakumaran, Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC bercadang agar tapak tersebut dipindahkan ke tempat lain.


"Setahu saya, syarikat tersebut mempunyai hampir 200 ekar tanah di sekitar Sentul. Biarlah mereka pindah ke tempat lain," kata Tharmakumaran yang turut berasal dari Sentul.


Menurutnya, tapak tersebut pada asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah kos rendah.


"Sudah 20 tahun. Projek tersebut masih tidak dimulakan. Kami nak, menteri segera turun padang bagi menyelesaikan isu bagi memberi satu penyelesaian yang wajar bagi keselesaan semua pihak termasuk syarikat tersebut," tambahnya.


Dihubungi kemudian, Prabakaran menafikan menerima sebarang aduan atau permohonan mana-mana pihak berhubung isu itu sejak menjadi wakil rakyat di kawasan itu.


"Tidak. Saya tidak menerima aduan. Setahu saya, tidak siapa membuat aduan kepada saya. Saya juga boleh pastikan bahawa tidak ada minta temujanji saya berkenaan isu ini," katanya.


Bagaimanapun, Prabakaran memberi jaminan akan membawa isu berkenaan kepada YTL Corp dan cuba mendapatkan penyelesaian.


"Saya sebagai anggota parlimen Batu akan segera membawa isu ini kepada syarikat tersebut dan mendapat satu penyelesaian secara menyeluruh," katanya.


Ditanya mengenai projek perumahan murah yang dijanjikan oleh syarikat tersebut yang sepatutnya dibina di tapak simen tersebut, Prabakaran mengesahkan bahawa perkara tersebut telahpun di bawah ke perhatian menteri wilayah persekutuan.


"Saya telah pun berbincang dengan menteri. Masih menunggu temujanji beliau untuk membawa penduduknya untuk berbincang isu rumah mereka," katanya.


Sumber: Malaysiakini


Comentários


bottom of page