MELAKA - Kawasan Klebang di sini dipilih sebagai lokasi taman tema baharu dengan menempatkan gondola 'Ferris wheel' terbesar di Malaysia.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, projek bernilai RM600 juta itu sedang dalam proses menunggu kelulusan dan pembinaannya itu dijangka merancakkan industri pelancongan di negeri ini.
Menurutnya, mengikut perancangan awal, kawasan bertemakan liburan seisi keluarga itu juga akan dilengkapi projek 'underwater world', kapal selam dan peralatan tentera perang.
"Ia mungkin Ferris wheel terbesar dalam Malaysia dan mungkin Asia Tenggara yang akan menjadi kawasan hiburan serta aktiviti pembelajaran.
"Dalam perancangan itu, akan ada dinding interaktif dan pelbagai lagi aktiviti menarik untuk pendidikan selain pelancong boleh berhibur bersama keluarga," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia berkata, selain taman tema, kawasan pelancongan itu juga akan diwujudkan kemudahan pakej kapal persiaran untuk membolehkan pengunjung bersiar-siar dan menjamu selera di tengah lautan.
Menurutnya, pengunjung berpeluang menerokai sembilan buah pulau yang ada di negeri ini dengan terdapat pelbagai aktiviti menarik.
"Kapal tersebut juga akan membawa pengunjung bersiar-siar di kesemua sembilan buah pulau yang ada di Melaka, selain turut menyediakan pelbagai aktiviti lain yang menarik.
"Jika kelulusan dapat diperolehi, maka ia bakal menjadi satu taman tema yang memang bernilai RM600 juta untuk menarik ramai pelancong ke Melaka," katanya.
Sumber: Sinar Harian
Commentaires