Melaka Gateway: Pemaju failkan semakan kehakiman
- Ridhwanisme
- Dec 15, 2020
- 2 min read

KUALA LUMPUR: Pemaju projek penambakan Melaka Gateway, KAJ Development Sdn. Bhd., memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar notis penamatan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Melaka berhubung konsesi penambakan yang ditandatangani sejak tiga tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Michelle Ong berkata, beliau sudah menjelaskan konsesi penambakan sejak 4 Oktober 2017 tetapi kerja-kerja pembinaan terpaksa ditangguhkan sejak 18 Mac 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, ketika pemaju mengemukakan beberapa permintaan bertulis untuk melanjutkan tempoh konsesi penambakan berkenaan, beliau mendakwa kerajaan negeri Melaka tidak mengendahkan malah menolaknya.
“Semua aktiviti penambakan tanah yang ditangguhkan sejak PKP tidak dapat disambung semula kerana semua peralatan yang digunakan serta pakar luar tidak dapat pulang ke negara ini dan mereka masih tidak dapat berbuat demikian akibat sekatan antarabangsa.
“Kami (pemaju) hanya boleh menyambung kerja-kerja penambakan jika semua sekatan akibat pandemik Covid-19 dihentikan namun, tiada siapa yang tahu bila perkara ini akan berlaku.
“Dengan tuntutan mahkamah ini, kami berhasrat memerlukan sedikit masa daripada kerajaan negeri agar pemaju dapat menyelesaikan kerja-kerja penambakan dalam masa tiga tahun seperti yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Michelle Ong berkata, tuntutan tersebut menyatakan bahawa kerajaan negeri Melaka telah melanggar Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 (Akta 829). Akta 829 memperuntukan melarang penamatan sebarang projek pembinaan digantung disebabkan langkah-langkah pencegahan akibat wabak Covid-19.
Melaka Gateway adalah projek pembangunan komersial syarikat swasta seluas 246.4 hektar yang terdiri daripada tiga pulau baharu dengan dua daripadanya adalah buatan manusia.
Ia dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025. Setakat ini, sebanyak RM700 juta dibelanjakan sejak awal pembangunannya pada 2014. Bagaimanapun, 3 Oktober lalu, kerajaan negeri Melaka menamatkan perjanjian penambakan laut projek itu bersama syarikat pemaju milik Michelle.
Mengulas lanjut, beliau berkata, akan ada tiga pulau yang akan dibina setelah proses penambakan tanah selesai yang akan menjadi asas pelabuhan mega Melaka Gateway selain menjadi terminal pelayaran, hab minyak dan gas utama, kemudahan pelancong yang besar serta zon ekonomi eksklusif.
“Semua ini akan mengubah Melaka menjadi negeri moden yang penuh dengan pengaruh sejarah, mengembalikan kemuliaan yang dinikmati oleh Melaka sebagai hab perdagangan yang merangkumi Asia Timur dan Barat, menuju Timur Tengah dan Eropah,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
Comments