top of page

MBMB tunggu laporan lengkap CIDB kes bangunan runtuh



MELAKA – Kerajaan masih menunggu laporan lengkap daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sebelum memanggil kontraktor dan pemilik bangunan haram sedang dalam pembinaan yang runtuh hingga meragut nyawa pekerjanya di Jalan Bukit Senjuang, Banda Hilir, di sini minggu lalu.


Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, dua pihak berkenaan telah pun dipanggil oleh CIDB untuk disoal siasat berhubung kejadian itu.


“Di pihak MBMB, kita memang sudah kenal pasti siapakah pemilik bangunan tersebut dan setakat ini, individu projek swasta berkenaan belum buat apa-apa penyerahan (dokumen) kepada kami.


“Saya dimaklumkan CIDB juga berhubung dengan pemiliknya dan kontraktor tersebut untuk soal siasat sebelum sebarang tindakan diambil di peringkat mereka,” katanya.


Shadan berkata, MBMB belum memanggil pemilik projek tersebut kerana masih lagi dalam tindakan untuk menentukan jumlah denda yang bakal dikenakan terhadap mereka.


“Kertas kerja kesalahan dilakukan perlu diteliti bagi memastikan mereka tidak dapat lari daripada tindakan undang-undang atas kesalahan dilakukan.


“Jumlah denda yang bakal dikenakan juga bergantung kepada laporan yang akan diperoleh daripada CIDB kelak yang mana pemilik bangunan itu boleh berdepan tindakan bawah Akta Jalan dan Perparitan, Seksyen 70 (1) yang boleh dikompaun maksimum RM50,000,” katanya.


Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang 12 Oktober lalu, seorang pekerja warga Bangladesh maut manakala dua lagi cedera dalam runtuhan bangunan tiga tingkat itu yang sedang dalam pembinaan.


Mangsa maut dikenali Jidan, 22, yang ditemukan tersepit dengan kecederaan pinggang ke bawah kira-kira pukul 9.55 malam manakala dua warga Pakistan masing-masing berusia 32 dan 49 tahun berjaya dikeluarkan dari celahan runtuhan tingkat satu bangunan itu pada pukul 6.40 petang dan 8.45 malam.


Siasatan awal CIDB mendapati, kontraktor utama projek pembinaan terbabit berdaftar secara sah di bawah agensi kerajaan itu.


Namun ketiga-tiga pekerja binaan warga asing terbabit tidak mempunyai perakuan pendaftaran personel binaan atau akreditasi pekerja daripada CIDB.


Kes akan disiasat di bawah Seksyen 34D, Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) atau Akta 520 (Pindaan 2011), iaitu kematian yang disebabkan oleh pelanggaran kewajipan oleh kontraktor.


Sabit kesalahan, kontraktor terbabit boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.


Comentarios


bottom of page