top of page

MBK SASAR ‘SMART KUANTAN’ MENJELANG 2030



KUALA LUMPUR, 10 OKTOBER 2024 : Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mensasarkan bandar Bandar Pintar menjelang 2030 dengan menggariskan panduan di bawah Pelan Tindakan Bandar Pintar Kuantan 2030 yang memfokuskan kepada tiga inisiatif.


Setiausaha MBK, Tuan Haji Mohd Nizam Mahayuddin berkata, inisiatif pertama ialah ‘smart city’ yang mempunyai empat fasa yang telah bermula pada Januari 2023 sehingga Disember 2030 iaitu fasa 1 (Pengguna awal bandar pintar), fasa 2 (Membangunkan bandar pintar), fasa 3 (Memimpin bandar pintar) dan fasa 4 (Visioner bandar pintar).


Menurutnya, inisiatif kedua ialah Inisiatif Bandar Hijau Rendah Karbon Kuantan yang menggalakkan penggunaan Kenderaan Elektrik (EV) dengan memperkenalkan Setesen Pengecasan EV di tempat letak kenderaan awam bersama MBK di sekitar Kuantan serta inisiatif ketiga ialah mewujudkan Lintasan Pejalan Kaki Pintar.


“Sekarang MBK mempunyai 47 stesen pengecasan EV di kawasan awam dan tempat letak kenderaan di Kuantan iaitu yang pertama di Malaysia sebagai kemudahan dan galakan kepada orang ramai agar menggunakan kenderaan elektrik untuk mengurangkan karbon dalam usaha melestarikan bandar Kuantan.


“Di bawah Smart Kuantan 2030 ini macam-macam inisiatif yang diperkenalkan oleh MBK yang dilaksanakan dan kita juga telah pergi ke Hangzhou di China pada Expo Smart City dan kita juga sudah ada pelan strategik, kita antara yang pertama “Smart Kuantan 2030” ini sebenarnya MBK mendahului sejak 2020 lagi,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pameran bersempena International Greentech And Eco Products Exhibition And Conference Malaysia (IGEM) 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama tiga hari bermula Rabu lepas.


Pada IGEM 2024, tujuh agensi sebagai pempamer telah turut serta iaitu Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), UMPSA Holdings Sdn Bhd, Cenergi Sea Berhad, Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Perbadanan Taman Negeri Pahang dan PlanMalaysia Pahang.


Pada penyertaan kali pertama pada 2023, Pahang telah dinobatkan sebagai juara bagi anugerah States Innovation Awards.


Sumber: Pahang Media

Comments


bottom of page