JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bakal melaksanakan beberapa projek pengindahan sempena pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura bermula 1 April ini.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, persediaan telah dilakukan membabitkan aspek persiapan infrastruktur, kebersihan dan keselamatan.
Menurut beliau, pembukaan semula sempadan itu akan memberi nafas baharu kepada sektor perniagaan dan ekonomi di Johor Bahru khususnya.
“MBJB juga akan menjalankan beberapa projek pengindahan di sekitar kawasan pusat bandar termasuklah di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) dalam tempoh antara enam bulan sehingga setahun.
“Antara projek itu termasuklah menaiktaraf dan pengindahan pintu masuk CIQ, jejambat di Jalan Lingkaran Dalam melalui penambahan pencahayaan, kerja mengecat, pemasangan skrin LED, kerja mural dan pengindahan landskap.
“Projek pengindahan ini bakal menjadikan bandar raya Johor Bahru kembali ‘vibrant’ dan menjadi tarikan pelancong luar khususnya yang memasuki negara ini melalui CIQ,” katanya ketika berucap sempena Mesyuarat Penuh Bilangan 3 Tahun 2022 di Menara MBJB, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Noorazam, pihak berkuasa tempatan itu juga akan bekerjasama rapat dengan Tourism Johor untuk mempromosi dan menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara.
“Antara yang dipertimbangkan adalah untuk menyediakan perkhidmatan ‘shuttle bus’ di kawasan pusat bandar untuk mewujudkan mobiliti yang baik bagi kemudahan pelancong.
Sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura yang merupakan sempadan antarabangsa tersibuk di dunia itu ditutup bermula 18 Mac 2020 akibat penularan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
Pada 24 Mac lalu, Malaysia dan Singapura bersetuju membuka sempadan darat kedua-dua negara berkenaan khususnya bagi pengembara yang lengkap vaksinasi sejajar dengan peralihan kehidupan fasa mendepani pandemik Covid-19.
Sumber: Utusan Malaysia
Comments