KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor akan menganjurkan sesi libat urus awam bagi Projek Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang akan dibangunkan nanti.
Sesi libat urus yang dianjurkan menerusi pejabat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) itu akan diadakan di SACC Mall, Shah Alam bermula hari ini hingga 10 Februari depan dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Menerusi sesi libat urus itu, pihak MBI Selangor akan memberi maklumat tepat berkaitan dengan cadangan Projek Pembangunan KSSA yang baharu serta mendapatkan maklum balas daripada orang ramai mengenai pelan cadangan yang dikemukakan.
"Sepanjang sesi libat urus awam ini, orang ramai berpeluang untuk melihat dan mendapatkan gambaran yang lebih lanjut mengenai projek pembangunan ini melalui paparan video 3D, papan informasi dan model konsep (scale model) projek pembangunan berkenaan.
Pengunjung boleh menilai dan berpeluang untuk memberikan maklum balas dan cadangan melalui kod imbasan QR yang disediakan oleh MBI Selangor.
Sesi Libat Urus Awam KSSA ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor yang bertujuan memastikan ketelusan dalam setiap urusan dan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri ke arah pentadbiran yang cekap serta berpaksikan kepentingan masyarakat umum.
la adalah inisiatif tambahan secara sukarela kerajaan negeri dan MBI Selangor dalam usaha memberikan maklumat terkini mengenai pelan perancangan KSSA.
"Segala makluman dan cadangan relevan yang diberikan akan dimasukkan dalam pelan pembangunan selaras dengan aspirasi kerajaan yang peka dengan keperluan orang ramai," kata MBI dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan pelan cadangan berkenaan, MBI Selangor memaklumkan Projek Pembangunan KSSA yang berkeluasan 188 ekar (76.08 hektar) itu akan mempunyai sebuah stadium bertaraf dunia yang merangkumi 60 peratus daripada keseluruhan kawasan projek pembangunan.
"Baki 40 peratus daripada keseluruhan kawasan projek pembangunan pula adalah taman rekreasi dan ruang komersial yang diaspirasikan untuk menggalakkan interaksi dalam komuniti serta memberi pelbagai peluang keusahawanan kepada golongan belia di Selangor," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comentários