top of page

MBI jadi PBT pertama di Perak mesyuarat dalam talian


Rumaizi mengadakan mesyuarat dengan beberapa jabatan dan agensi berkaitan pelan-pelan pembangunan di sekitar Bandaraya Ipoh secara dalam talian. - Foto MBI

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Perak melaksanakan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat secara dalam talian ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).


Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, mesyuarat tersebut melibatkan 13 agensi teknikal luaran antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Mineral dan Galian (JMG), Indah Water Konsortium (IWK), Lembaga Air Perak (LAP) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG).


Menurutnya, turut serta dalam mesyuarat tersebut, sembilan agensi teknikal dalaman MBI seperti Jabatan Perancangan Bandar, Jabatan Kerja Awam, Jabatan Kawalan Pembangunan dan Jabatan Landskap.


"Pandemik Covid-19 yang melanda Malaysia amnya dan Bandaraya Ipoh khususnya telah memberi impak besar kepada kelembapan ekonomi. Sehubungan dengan itu, MBI selaku PBT utama di Perak harus peka dengan situasi semasa dan perlu mengorak langkah untuk mempermudahkan urusan kelulusan pelan-pelan pembangunan di bawah kawasan pentadbirannya.


"Ini bertujuan untuk merancakkan pembangunan ekonomi dan fizikal di Ipoh serta membantu penggiat industri di sektor pembinaan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


Rumaizi berkata, inisiatif itu seiring dengan hasrat kerajaan persekutuan untuk menggerakkan ekonomi bagi memastikan penggiat industri mampu bertahan dalam situasi sukar kesan penularan Covid-19.


Menurutnya, usaha yang dilakukan juga diharap mampu mengelak pemberhentian pekerja yang akan meningkatkan kadar pengangguran dan memberi kesan sosial kepada negara.


Dalam pada itu, beliau menegaskan biarpun kelulusan pelan-pelan pembangunan tersebut akan dipermudahkan, aspek kualiti dan keselamatan tetap menjadi keutamaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan seperti penjarakkan sosial, mencuci tangan menggunakan hand sanitizer dan memakai topeng muka tetap diutamakan.


Rumaizi turut berharap inisiatif tersebut akan membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dan Bandaraya Ipoh sekaligus menjadi penanda aras kepada PBT lain di Perak untuk turut melaksanakannya.


Sumber: Sinar Harian


Comments


bottom of page