KLANG: Senarai projek penyelenggaraan banjir yang bermasalah akan dibentang Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pada Januari depan.
Datuk Bandar MBDK, Datuk Abd Hamid Hussain, berkata penyediaan senarai itu akan dibentang kepada kerajaan negeri bagi membolehkan tindakan lanjut diambil sekali gus dapat menangani isu banjir secara keseluruhannya di daerah berkenaan.
Beliau berkata, pada Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) bersama Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu diminta untuk menyediakan senarai projek penyelenggaraan isu banjir.
"Penyelenggaraan projek banjir mungkin menghadapi masalah dalam pelbagai aspek antaranya gangguan utiliti dan lebuh raya yang menyebabkan kelewatan," katanya ketika dihubungi.
Abd Hamid berkata, pihaknya sedang melaksana 15 projek cegah banjir dengan kos RM17.5 juta termasuk menaik taraf sistem perparitan dan pembinaan kolam tadahan.
Katanya, 10 projek sedang dalam pelaksanaan, manakala selebihnya dalam proses pengiklanan dan penilaian ukur bahan.
"Kita sudah mengenal pasti kawasan panas (hotspot) berlakunya banjir dan akan menangani isu itu secara keseluruhan," katanya.
Khamis lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita dengan tahap kebersihan Bandaraya Diraja Klang yang masih kotor dan tidak teratur.
Baginda turut menitahkan, kerajaan negeri bersama MBDK mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah banjir termasuk merangka satu pelan dan membentuk pasukan khas.
Dalam pada itu, Abd Hamid yang mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar baharu pada 2 Disember lalu memaklumkan, penyelesaian isu banjir menjadi keutamaannya selepas dilantik menjawat jawatan itu.
Beliau yang sebelum ini berkhidmat sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang menggantikan Datin Noraini Roslan yang bersara pada 20 November lalu. Sumber: Berita Harian
Comments