LENGGONG: Kerajaan negeri Perak akan mendapatkan maklumat terperinci berhubung projek pembukaan tanah di kawasan hutan Kledang Saiong, Chepor di Ipoh, yang menimbulkan keresahan penduduk.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pihaknya akan mendapatkan laporan daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) selaku pengusaha projek.
Katanya, ia berikutan kebimbangan penduduk kampung terhadap risiko banjir dan tanah runtuh susulan pembukaan tanah itu.
Saarani berkata, projek pembangunan tanah mesti mendapat kelulusan kebenaran merancang (KM) daripada agensi berkaitan dan mematuhi garis panduan serta syarat ketat ditetapkan.
"Selepas permohonan KM dihantar, jabatan berkaitan dan pihak berkuasa tempatan perlu pastikan perancangan projek itu ada langkah mitigasi manakala zon penampan perlu dipatuhi.
"Penilaian Kesan Terhadap Alam Sekitar (EIA) juga mesti dipatuhi untuk mendapatkan KM, selain semua perkara berkaitan termasuk jadual penebangan pokok.
"Pokok tidak boleh ditebang pada musim tengkujuh. Syarat ketat dan prosedur operasi standard (SOP) itu ada, namun kita ambil kira kebimbangan penduduk," katanya.
Beliau ditemui pada Program Penutup Jelajah Sejahtera Desaku @ DUN Kota Tampan di Dataran Tasik Raban di sini, hari ini.
Penerokaan yang dimulakan kira-kira empat tahun lalu itu dikatakan semakin luas dan menghampiri penempatan terutama Taman Chepor Indah dan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Batu 10 dengan jarak didakwa kurang 100 meter.
Setiausaha Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizudin Nasarudin, dilapor berkata, pembukaan tanah sekitar 30 ke 45 darjah itu boleh menyebabkan berlaku mendapan tanah dan tanah runtuh serta banjir lumpur jika hujan berterusan.
Katanya, Kampung RPT Batu 10 dan Taman Chepor Indah pernah dilanda banjir akibat pembukaan tanah tidak terkawal hasil aktiviti pertanian dan penarahan bukit.
Projek pembukaan tanah itu dipercayai bertujuan bagi aktiviti pelombongan mineral silika kuarza.
Hutan Kledang Saiong adalah kawasan hulu sungai bagi Sungai Chepor dan anak sungai lain akan memasuki Sungai Pari dan Sungai Kinta yang melalui sepanjang bandar raya Ipoh.
Sumber: Berita Harian
Comentarios