top of page

MB: Kerja roboh Stadium Shah Alam lancar, lebih awal dari jangkaan


Permandangan proses perobohan Stadium Shah Alam sewaktu tinjauan di Seksyen 13, Shah Alam pada 11 November 2024. Proses merobohkan Stadium Shah Alam yang bermula awal Julai dijangka selesai sepenuhnya Mei 2025. Foto ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR

SHAH ALAM, 18 NOV: Fasa pertama projek pembangunan Kompleks Stadium Shah Alam (KSSA) berjalan lancar dan mencapai 45.81 peratus setakat 30 Oktober lalu, kata Dato’ Menteri Besar.


Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kemajuan fasa pertama membabitkan kerja perobohan yang bermula sejak Julai lalu menunjukkan kemajuan tiga hari awal dari jangkaan.


“Fasa pertama bermula sejak Julai lalu dan dijangka siap 30 Jun 2025…kemajuan pada 30 Oktober adalah 45.81 peratus dan peningkatan kerja.


“Kita jangka fasa pertama selesai pada 2027 iaitu antara Januari hingga April kerana komponen-komponen terdiri daripada Stadium Shah Alam, terminal bersepadu, plaza tempat letak kereta, kawasan rekreasi dan padang latihan.


“Manakala fasa kedua pula akan dibina bangunan teater tertutup, ruang niaga, sayap sukan dan belia serta dijangka bermula pertengahan 2027 dan berakhir 2029 sementara fasa ketiga pula pembinaan hotel yang dirancang pada 2028 hingga 2030,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.


Menjawab soalan wakil rakyat Gombak Setia Hilman Idham, Amirudin memaklumkan pelaksanaan perobohan dilaksana dalam skala besar pada peringkat awal bagi menyesuaikan dengan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang bakal beroperasi pada akhir 2025.


Katanya, sekiranya proses perobohan tidak dilaksana segera ia menyebabkan kerja-kerja itu semakin sukar terutama pada fasa pertama pembinaan KSSA.


Mengulas lanjut, Amirudin memaklumkan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sedang berbincang dengan pemaju untuk menetapkan tanah-tanah gantian yang sesuai atau kaedah pembayaran dipersetujui bersama dalam pembangunan KSSA.


“Pada perjanjian pertama, pemaju bersetuju pertukaran tanah dan kita masih teruskan serta menjurus kepada dua atau tiga lokasi berbanding sebelum ini sembilan. Lokasi-lokasi ini akan dimuktamadkan dan diumumkan kemudian,” katanya.

Kontraktor MRCB sedang melakukan kerja perobohan Stadium Shah Alam ketika tinjauan di Seksyen 13, Shah Alam pada 11 November 2024. Foto ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR

Sebelum ini, MBI memaklumkan projek pembangunan KSSA membabitkan tiga fasa dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029 dengan fasa pertama membabitkan proses perobohan.


Lembaran Prospek Sdn Bhd, anak syarikat MRCB Land Sdn Bhd dilantik untuk melaksanakan kerja perobohan, sementara pembangunan KSSA melibatkan perjanjian berasingan.


Perobohan stadium yang menggunakan kaedah lazim atau konvensional tanpa bahan letupan itu bagi mengelak gangguan bunyi, habuk dan air terhadap penduduk.


Comments


bottom of page