top of page

Masalah pendawaian dipercayai punca kebakaran di Uptown Kota Damansara


Masalah pendawaian dipercayai punca kebakaran di Uptown Kota Damansara
Tinjauan susulan kebakaran di Uptown Kota Damansara yang berlaku semalam. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

Masalah pendawaian dipercayai punca kebakaran di Uptown Kota Damansara

KUALA LUMPUR: Masalah pendawaian dipercayai menjadi punca kebakaran yang memusnahkan 20 khemah perniagaan di Uptown Kota Damansara di sini, malam tadi.


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata dapatan itu hasil keterangan awal saksi di tempat kejadian.


"Ada saksi mendakwa melihat percikan api keluar dari kotak agihan (DB) elektrik berhampiran satu daripada sebuah khemah perniagaan di situ. Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran," katanya kepada media, hari ini.


Beliau berkata, api kebakaran merebak pantas kerana keadaan struktur khemah dan barangan jualan yang mudah terbakar namun tindakan pantas bomba berjaya memadam kebakaran dalam masa singkat.


Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 1 Shah Alam Ahmad Zaidi Safuan, berkata kebakaran membabitkan 20 khemah tidak kekal serta sebuah premis struktur kekal yang beroperasi sebagai sebuah gimnasium.


"Buat masa ini, kita belum dapat menganggarkan keseluruhan jumlah kerugian kerana siasatan masih dijalankan.


"Kita masih cuba menghubungi pemilik khemah perniagaan terbabit namun pihak bomba difahamkan aktiviti perniagaan di kawasan itu dijalankan tanpa kebenaran pihak berkuasa dan pemilik tanah," katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.


Katanya, pihak pengurusan Transit Aliran Massa (MRT) turut berada di lokasi hari ini untuk melakukan pemeriksaan ke atas struktur landasan MRT yang terletak di atas lokasi kebakaran.


Sementara itu, Pengurus Infra Alfa Sdn Bhd, Shareen Farzida Sukri, yang ditemui berkata 20 khemah perniagaan yang terjejas dalam kebakaran itu bukan peniaga di premis kekal dibawah kendalian syarikatnya.

Masalah pendawaian dipercayai punca kebakaran di Uptown Kota Damansara
Tinjauan susulan kebakaran di Uptown Kota Damansara yang berlaku semalam. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

"Dalam kejadian malam tadi, hanya satu premis kekal yang terjejas akibat kebakaran itu iaitu sebuah gimnasium, manakala 20 khemah perniagaan yang terbakar bukan beroperasi dibawah selian kami.


"Terdapat 380 peniaga berdaftar dengan kami dan beroperasi di premis kekal. Kejadian ini tidak menjejaskan opearasi mereka dan perniagaan akan berjalan seperti biasa kerana premis mereka tidak terjejas," katanya.


Dalam pada itu, pemilik gimnasium, Mazalan Abdul Manan, 53, yang ditemui menganggarkan mengalami kerugian kira-kira RM250,00 selepas gimnasium yang diusahakan sejak 2017 rosak akibat kebakaran itu.


"Saya anggarkan lebih 20 peratus peralatan gimnasium rosak selain kerosakan hampir 50 peratus pada struktur premis berkeluasan 6,000 kaki persegi.


"Saya mula ternampak api daripada sebuah gerai di belakang gimnasium kira-kira jam 8.15 malam. Saya dan beberapa ahli gimnasium cuba membantu memadam kebakaran, namun tidak berjaya," katanya.


Beliau berkata, ketika kebakaran berlaku, terdapat 15 ahli gimnasium berada dalam premisnya dan keadaan menjadi sedikit kelam kabut.


"Bagaimanapun, ramai yang membantu mengalihkan barangan dan peralatan ke tempat selamat namun selepas setengah jam, usaha kami terhenti kerana keadaan asap yang tebal.


"Namun saya bersyukur kerana semasa kebakaran berlaku, tidak ramai pengunjung berada di sini dan khemah-khemah perniagaan juga baru hendak dibuka," katanya.


Tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, Kota Anggerik, Damansara dan Petaling dikejarkan ke lokasi untuk memadam kebakaran dan api berjaya dikawal pada jam 9.06 malam.

Masalah pendawaian dipercayai punca kebakaran di Uptown Kota Damansara
KUALA LUMPUR 21 NOVEMBER 2023. Tinjauan susulan kebakaran di Uptown Kota Damansara yang berlaku semalam. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN


Masalah pendawaian dipercayai punca kebakaran di Uptown Kota Damansara

Comments


bottom of page