Marang: Masalah kewangan dikatakan punca pemaju terpaksa menghentikan Projek Perumahan Gong Chempedak Fasa Tiga, di sini, sejak lima tahun lalu.
Difahamkan, projek berkenaan hanya berjalan selama dua tahun sejak dilaksanakan pada 2016 sebelum dihentikan pada 2018.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Terengganu, Dr Alias Razak berkata, beliau sudah mengadakan beberapa rundingan dengan pihak pemaju bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Menurutnya, pemaju mendakwa masalah kewangan menjadi penyebab utama projek berkenaan terpaksa dihentikan.
"Saya sudah membuat beberapa kali pertemuan dan berbincang dengan pemaju bagi menyelesaikan isu ini.
"Pemaju berterus terang memberitahu mereka menghadapi masalah kewangan dan berusaha mencari rakan projek (partner) bagi menampung kewangan untuk meneruskan projek berkenaan.
"Pemaju juga mendakwa gagal membuat pinjaman bank kerana banyak hutang. Sebab itu pemaju memerlukan rakan projek baharu untuk bantu kewangan," katanya hari ini.
Katanya, pemaju berjanji untuk meneruskan projek berkenaan selepas Hari Raya Aidilfitri dan yakin dengan kesungguhan pemaju untuk meneruskan projek berkenaan.
Alias berkata, projek berkenaan adalah seratus peratus projek swasta dan kerajaan negeri tidak boleh masuk campur termasuk mengambil tindakan, sebaliknya hanya boleh bertindak sebagai 'orang tengah' (moderator) sahaja dalam menyelesaikan isu berkenaan.
Semalam, seramai 120 pembeli yang kecewa impian memiliki kediaman sendiri sehingga kini tidak menjadi kenyataan menggesa pemaju memenuhi impian mereka dengan meneruskan projek berkenaan yang terhenti sejak 2018.
Projek perumahan itu yang dijangka siap pada 2020 terbengkalai selepas dua tahun projek berkenaan dilaksanakan pada 2016.
Sumber: Harian Metro
Comments