
LIPIS, 22 NOVEMBER 2024 : Masalah kesesakan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) setiap kali musim perayaan dijangka dapat diselesaikan apabila dua projek utama prasarana siap menjelang 2027.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, pada 2026, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka siap pada akhir 2026 dan dapat beroperasi pada 2027, selain penaiktarafan KLK juga dijangka siap pada tahun sama.
“Sepertimana yang saya katakan lagi cuma empat perayaan lagi kita akan hadapi ini (kesesakan luar biasa) cuma harap pengguna dapat bersabarlah.
“Sebabnya tahun akhir 2026, ECRL akan siap beroperasi awal tahun 2027, kemudian naik taraf Jalan Karak Highway ke Kuala Lumpur akan siap pada akhir 2026.
“Jadi insyaAllah ada berlaku peningkatan untuk upgrade jalan-jalan orang pergi ke Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Pahang Rail Tourism 2024 di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kuala Lipis.
Beliau dalam majlis sama turut mengumumkan dua projek penaiktarafan jalan telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan melibatkan peruntukan sebanyak RM224.820 juta.
“Projek naik taraf jalan struktur turapan jalan Sungai Koyan ( FT1503) dari Seksyen 0.00 hingga Seksyen 29.3 Raub-Lipis dengan kos sebanyak RM100 juta.
“Projek aras jalan Jerantut-Kuala Lipis ( FT234) dari Seksyen 42 00 hingga Seksyen 48.00 dan dari Seksyen 55.0 hingga Seksyen 57.00, Jerantut bernilai RM124.820 juta..
“Projek ini akan dilaksanakan segera mengikut prosedur pengeluaran tender dan pemilihan kontraktor dan dijangka dimulakan pada awal tahun hadapan,” katanya.
Tambah beliau, sebanyak RM1 juta diperuntukkan pada awal tahun hadapan melibatkan pelbagai tujuan seperti proses pengambilan tanah, lojistik dan lain-lain keperluan.
Sumber: Pahang Media
Comments