Pantai Remis: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengambil inisiatif memanfaatkan lombong terbiar dengan membangunkan projek panel solar terapung bernilai RM200 juta bagi menambah sumber tenaga elektrik.
Pengarahnya, Hasrolnizam Shaari berkata persetujuan dicapai bersama syarikat ADL Solar Sdn Bhd untuk projek tersebut mula dilaksanakan pada awal 2023.
Hasrolnizam berkata, keputusan itu diambil selepas pihaknya berpuas hati dengan penilaian yang dilakukan oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) terhadap projek solar terapung ADL di 9.9MWAC Floting Solar Project Manjung Perak, dekat sini.
"Terdapat 98 bekas lombong dengan keluasan 105 hektar yang dikenalpasti dan dikawal selia Luas sebagai kolam sumber air alternatif.
"Sebahagian besarnya adalah lombong berstatus tanah kerajaan. Sebagai permulaan awal, pembangunan ladang solar terapung ini akan diusahakan secara usahasama KSSB (anak syarikat kerajaan negeri Selangor) dan ADL Solar Sdn Bhd.
"Beberapa lokasi dikenalpasti berpotensi bagi projek yang menjana tenaga elektrik berkapasiti 50 megawatt diusahakan segera. Antaranya bekas-bekas lombong di kawasan Serendah, Dengkil dan Bestari Jaya," katanya ketika ditemui membuat lawatan di 9.9MWAC Floting Solar Project Manjung Perak, dekat sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan ADL, Datuk Kong Yeng Kin berkata projek panel solar terapung berkeluasan 12 hektar di sini adalah projek seumpama itu yang terbesar di Malaysia menggunakan kepakaran anak tempatan.
"60 peratus hasil yang dapat dilihat hari ini adalah usaha warga tempatan meliputi pembuatan kabel, pemasangan dan penyelenggaraan. Baki 40 peratus sahaja import iaitu panel solar.
"9.9MWAC Floting Solar Project Manjung Perak dapat menghasilkan arus elektrik dengan kapasiti 15 megawatt yang boleh dimanfaatkan oleh 15,000 buah rumah," katanya.
Sumber: Harian Metro
Comentarios