top of page

Mana parkir kami?


Mana parkir kami? Harian Metro www.hmetro.com.my
PPR Seri Semarak masih belum memiliki parkir bertingkat. FOTO Azlan Hadi Abu Bakar

Kuala Lumpur: Masalah parkir di Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, Setapak di sini semakin kritikal terutama selepas pembinaan beberapa kondominium di kawasan berdekatan.


Penduduk bukan sahaja kehilangan parkir mereka yang dianggarkan lebih 400 petak disebabkan pembangunan sekitar, malah disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).


Isu parkir yang seharusnya dapat diselesaikan itu kini dilihat seolah-olah tiada jalan penyelesaian apabila janji yang diberikan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju dibiarkan tanpa noktah.


Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) PPR Seri Semarak, Ahmad Faizul Muhamad Hasdi, 62, berkata, hampir kesemua 63 PPR atau PPA di Kuala Lumpur memiliki parkir bertingkat sendiri tetapi tidak di PPR Seri Semarak.


"Sebelum ini, penduduk dijanjikan parkir bertingkat, namun sehingga kini belum dibina lagi.


"Kini, tapak untuk parkir bertingkat sudah ditukar kepada Pusat Komuniti atas sebab tertentu, bagi kegunaan penduduk awam di seluruh Setiawangsa.


"Sekarang Pusat Komuniti sudah lama siap dan berada di bawah Pengurusan Jabatan Perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


"Namun, di mana mana hak (parkir bertingkat) kami yang DBKL janjikan," katanya yang masih menunggu maklum balas daripada PBT.


Lebih mengecewakan katanya, parkir kenderaan sangat terhad dan kritikal ketika ini, terutama selepas DBKL mengizinkan pemaju, SkyWorld menguruskan kawasan parkir yang digunakan sebelum ini untuk dibina jalan raya empat lorong.


Menurutnya, pihak SkyWorld sudah menjanjikan pembinaan parkir di atas padang hak milik JMB, PPR Seri Semarak, malah surat keizinan sudah dikeluarkan.


"Pengurusan SkyWorld juga sudah membuat pembentangan di Jabatan Perancangan Bandar DBKL dengan semua pihak termasuk persatuan penduduk dan JMB.


"Tetapi perkara ini sudah berlalu terlalu lama dan sehingga kini belum ditunaikan.


"Khabarnya mereka hendak membatalkan janji untuk membina kawasan parkir ini," katanya.


Ahmad Faizul berkata, masalah parkir ini boleh diselesaikan sekiranya DBKL dan SkyWorld mengotakan janji mereka.


"DBKL juga sudah memutuskan keseluruhan pengurusan akan diserahkan kepada JMB yang baru dilantik dan tarikh yang disasarkan pada 31 Disember ini atau selewat-lewatnya 31 Januari 2023.


"Jadi, kami meminta kepada DBKL menyiapkan serta melengkapkan dulu semua isu fasiliti dan infrastruktur di PPR Seri Semarak sebelum penyerahan dilakukan," katanya.


Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Seri Semarak, Azmi Abdul Aziz, 58 berkata, antara faktor lain yang menyumbang kepada isu parkir adalah sikap pentingkan diri segelintir penghuni yang membiarkan kereta tersadai di tempat letak kenderaan bertahun-tahun hingga menyusahkan ramai pihak.


Menurutnya, banyak aduan sudah dibuat kepada DBKL, tetapi DBKL memberi alasan depoh simpanan kenderaan mereka tidak mencukupi.


"Terdapat kira-kira 110 kereta yang lama tersadai dan wajar segera ditunda keluar.


"Sekiranya ini dapat dilaksanakan segera, sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan isu parkir kami dan paling penting kami mohon kepada DBKL, tolong laksanakan pembinaan parkir bertingkat di PPR Seri Semarak ini," katanya.


Azmi berkata, selain itu didapati banyak juga kenderaan orang luar yang menumpang parkir di kawasan PPR Seri Semarak, termasuk pelawat dari projek kondominium bersebelahan.


Katanya, ada juga orang luar yang meletak kenderaan di kawasan itu, kemudian menaiki kenderaan awam di stesen bas atau LRT berhampiran.


PPR Seri Semarak mempunyai lima blok bangunan 17 tingkat (iaitu Blok B,C,D,E,F) dan setiap blok terdapat 316 unit rumah dengan keseluruhannya sebanyak 1,580 unit.


Bilangan penduduk pula hampir 8,000 orang (purata lima orang setiap rumah) dan kereta persendirian hak milik penduduk yang aktif pula sekitar 3,000 kenderaan yang mana jumlah parkir yang ada sekitar 1,200 petak.


Sumber: Harian Metro


Comments


bottom of page