BANGKOK: Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal bersama bagi membincangkan dengan lebih terperinci cadangan pembinaan Jambatan Persahabatan antara Malaysia dan Thailand akan diadakan di Kuala Lumpur pada Mac ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Thailand berkata kedua-dua negara bersetuju untuk mempercepatkan proses pembinaan jambatan yang akan menghubungkan Kelantan dengan Narathiwat; iaitu Jambatan Tak Bai-Pengkalan Kubor dan Sungai Golok-Rantau Panjang.
Menurut Dr Wan Azizah, kedua-dua negara juga komited dalam merealisasikan pembinaan Jambatan Persahabatan dan menjangkakan majlis pecah tanah untuk pembinaan kedua-dua jambatan dapat dilakukan perdana menteri kedua-dua negara pada tahun ini.
Katanya, isu pembinaan Jambatan Persahabatan dibangkitkan oleh Perdana Menteri Thailand JenPrayut Chan-o-cha ketika beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas perdana menteri itu di Government House, petang ini.
“Saya fikir reka bentuk ada disentuh dalam perbincangan, dan akan disusuli dengan aspek teknikal. Saya berpendapat jawatankuasa teknikal tertinggi di kedua-dua pihak akan berbincang bagaimana untuk melaksanakannya. Saya tidak dimaklumkan tentang tempoh masa, ia akan mengambil masa yang agak lama. Pihak Thai juga ada beberapa isu yang perlu kita tangani,” katanya pada sidang media bersama media Malaysia di sini, hari ini.
Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diiringi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya.
Turut serta pada sidang media itu Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel.
Lawatan itu adalah yang pertama sejak Dr Wan Azizah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 21 Mei lalu.
Dr Wan Azizah berkata perbincangan bersama rakan sejawatannya, Jen Chatchai Sarikulya itu sangat produktif dengan pelbagai perkara yang menyentuh kepentingan bersama telah dibincangkan.
"Kedua-dua pihak bersepakat bahawa hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand semakin erat dan kukuh. Bertitik-tolak daripada keinginan itu, saya dan pemimpin-pemimpin Thailand berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan terkini kerjasama dua hala yang ada antara Malaysia dan Thailand, dan saling berkongsi pendapat mengenai hala tuju dalam memperkukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan Thailand.
"Saya juga menegaskan bahawa Malaysia memberi tumpuan dan perhatian yang amat serius terhadap usaha meningkatkan hubungan dengan Thailand. Lawatan-lawatan peringkat tertinggi, serta juga usaha-usaha kerjasama baharu yang dipelopori adalah bukti yang nyata terhadap keinginan ini. Kita hendaklah memastikan bahawa era ini merupakan ‘the Golden Era of Malaysia-Thailand relations’," katanya.
Dr Wan Azizah berkata kedua-dua pihak juga berpuas hati dengan kesediaan Malaysia dan Thailand untuk membuka laluan masuk-keluar Malaysia dan Thailand di Bukit Kayu Hitam serta Sadao selama 24 jam, untuk kargo dan kenderaan muatan berat sahaja bermula 1 April 2019.
“Kedua-dua pihak bersetuju memberikan tempoh percubaan selama tiga bulan untuk tujuan itu... langkah itu diharap dapat melancarkan lagi pergerakan kenderaan berat kedua-dua negara dan memudah cara hubungan perdagangan kita dengan Thailand," katanya.
Dari segi ekonomi pula, Dr Wan Azizah berkata perdagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand bagi tempoh Januari-November 2018 merekod peningkatan sebanyak 14.7 peratus dengan jumlah RM96.78 bilion (AS$24.06 bilion) berbanding RM90.55 billion (AS$20.98 bilion) bagi tempoh sama pada tahun 2017.
Bagi tempoh sama (Januari-November 2018), katanya, jumlah eksport meningkat sebanyak 5.7 peratus dengan jumlah AS$13.01 bilion berbanding AS$10.77 bilion, manakala jumlah import meningkat sebanyak 5.5 peratus dengan jumlah AS$11.05 bilion berbanding AS$10.21 bilion bagi tempoh yang sama pada 2017.
Bagi tahun 2017 dan 2018, Thailand kekal sebagai rakan dagang kelima terbesar Malaysia di dunia selepas China, Singapura, Amerika Syarikat serta Jepun, dan kedua terbesar di ASEAN selepas Singapura manakala, Malaysia juga kekal sebagai rakan dagang keempat terbesar Thailand di dunia dan yang terbesar di ASEAN.
Sementara itu Dr Wan Azizah turut mengucapkan tahniah kepada Thailand yang menduduki kerusi Pengerusi ASEAN bagi tahun ini.
Dr Wan Azizah dan rakan sejawatannya itu turut membincangkan isu proses dialog damai di Selatan Thailand, dan kedua-dua negara bersepakat isu itu perlu ditangani dengan berhati-hati dengan berlandaskan undang-undang di samping penekanan juga harus diberi kepada usaha membangunkan ekonomi di kawasan itu.
Sumber: Bernama
Comments