KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi antara lima negara yang bakal mendapat manfaat jika perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dengan China berpanjangan, kata Standard Chartered Bank Malaysia (StanChart Malaysia).
Ketua Ekonomi bagi ASEAN dan Asia Tenggara StanChart Malaysia, Edward Lee, berkata ini kerana ekonomi lima negara berkenaan boleh menyerap permintaan AS yang beralih dari China.
“Kami mendapati Vietnam, Mexico, Malaysia, Thailand dan Kanada adalah lima pemenang utama dalam senario ini dari aspek impak kemungkinan ke atas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya pada taklimat ekonomi di Kuala Lumpur, semalam.
Jangkaan itu dengan andaian AS mengenakan cukai 25 peratus ke atas semua import dari China yang mungkin menyebabkan kejatuhan 40 peratus eksport China ke AS.
Ia kemudiannya akan menyebabkan kejatuhan 40 peratus lagi eksport negara lain ke China yang akhirnya akan turut memberi kesan kepada AS.
“Impak langsung permintaan AS yang dialihkan ke negara lain akan menjadi positif. Kami menjangkakan pesaing China akan mendapat manfaat daripada pengalihan permintaan AS dan akan menjual lebih banyak barangan ke AS mengikut kadar eksport semasa.
“Kami mengandaikan kenaikan maksimum dalam eksport ke AS adalah sebanyak 20 peratus tahun ke tahun. Negara-negara seperti Vietnam, Mexico, Malaysia, Thailand dan Kanada adalah berkemungkinan menawarkan kadar yang sama seperti China,” jelasnya.
Di peringkat domestik, bank berkenaan menjangkakan Malaysia akan mencatat pertumbuhan KDNK yang stabil iaitu 4.9 peratus pada 2019 berbanding 4.7 peratus tahun lalu, disokong oleh permintaan pengguna.
“Penggunaan persendirian telah meningkat dengan stabil sejak beberapa tahun lalu, meningkatkan sumbangannya dalam KNDK kepada 56 peratus pada 2018 daripada 49 peratus pada 2011.
“Pemulihan kapasiti pengeluaran di sektor perlombongan, yang terganggu oleh gangguan yang tidak terancang dan pembaikan saluran paip, juga boleh menyumbang kepada pertumbuhan pada tahun 2019.
“Permintaan pengguna juga akan mendapat sokongan pada 2019 daripada pasaran buruh yang sihat, perubahan cukai yang seimbang, pengembalian cukai dan peningkatan gaji minimum,” katanya.
Kadar penyertaan pasaran buruh Malaysia meningkat ke paras tertinggi iaitu 68.5 peratus sehingga September lalu manakala pertumbuhan pengambilan pekerja juga terus meningkat kepada 2.6 peratus tahun ke tahun.
Lee turut menyatakan kadar pengangguran adalah rendah iaitu pada 3.3 peratus dalam suku ketiga 2018 manakala pertumbuhan gaji berkembang dengan sihat kepada 5.7 peratus tahun ke tahun.
“Ini seharusnya menyokong pendapatan boleh guna sebenar dalam persekitaran inflasi yang rendah,” tambahnya.
Bagaimanapun, Lee tidak begitu yakin dengan unjuran pelaburan negara berikutan kemerosotan dalam perbelanjaan kerajaan.
“Projek kejuruteraan sivil sedang menyokong keseluruhan industri pembinaan tetapi pembatalan beberapa projek mega dan perbelanjaan fiskal yang ketat mungkin mengurangkan sokongan ini pada 2019.
“Sementara itu, pasaran hartanah juga terbeban dengan inventori yang tinggi dan kami menjangkakan inventori perumahan memerlukan sekurang-kurangnya 28 bulan tempoh jualan,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments