top of page

Malaysia bakal keluar minyak HVO dan SAF


Malaysia bakal keluar minyak HVO dan SAF Utusan Malaysia www.utusan.com.my
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal mengeluarkan Minyak Sayuran Rawatan Hidro (HVO) dan bahan api penerbangan mampan (SAF) yang melibatkan pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM6 bilion.


Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, syarikat milik kerajaan China akan bekerjasama dengan syarikat Malaysia dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk mengeluarkan kedua-dua bahan berkenaan.


Katanya, syarikat-syarikat terlibat dari China iaitu Shanxi Construction Investment Group Co. Ltd. (SCIG) dan Institute of Coal Chemistry, Chinese Academy of Sciences (ICC-CAS).

Syarikat Malaysia pula Pengerang Maritime Industries Sdn. Bhd. (Benalec) dan Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC).


“Usaha sama ini bakal menawarkan 1,000 peluang pekerjaan apabila pembinaan kilang HVO dan SAF pertama di negara ini merupakan salah satu inisiatif memacu sektor sawit tanah air ke arah industri berteknologi dan bernilai tinggi.


“Kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan langsung asing bagi mempelbagaikan produk agrikomoditi dengan nilai tambah tinggi,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (Miaces) 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.


Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan sektor agrikomoditi tetap teguh apabila nilai komoditi eksport meningkat lima peratus iaitu RM31.6 bilion sehingga Februari lalu berbanding tempoh sama pada 2021 walaupun pengeluaran minyak sawit jatuh ke tahap rendah akibat cuaca buruk.


Malah katanya, sektor itu telah mencapai nilai perdagangan sebanyak RM270.2 bilion iaitu peningkatan 39.7 peratus berbanding tahun sebelumnya menjelang akhir 2021.


“Sektor agrikomoditi menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir sejuta di peringkat huluan, meningkatkan taraf hidup serta pendapatan rakyat terutamanya pekebun kecil dan masyarakat di luar bandar sejak berdekad yang lalu,” katanya.


Selain itu, Ismail Sabri memberitahu kerajaan menggalakkan usaha menjadikan hampas isirung sawit sebagai bahan mentah makanan domestik akuakultur dan penternakan bagi mengurangkan pergantungan import sekali gus menyumbang kepada inisiatif sekuriti makanan negara.


Pada masa sama katanya, pendekatan menggunakan bahan mentah daripada sisa buangan atau lebihan di sepanjang rantaian nilai sektor agrikomoditi juga diberi tumpuan bagi memacu pembangunan ekonomi kitaran ekonomi kitaran.


“Ini termasuk menjadikan sumber biojisim agrikomoditi sebagai antara komponen penting dalam ekonomi kitaran yang berupaya menghasilkan produk nilai tambah, sekali gus membolehkan Malaysia bakal muncul sebagai hab biojisim,” ujarnya.


Menyentuh kualiti produk kayu bersijil daripada Malaysia, Ismail Sabri berkata negara merintis pensijilan hutan tropika atau Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) yang diiktiraf dan diperakui negara-negara dunia.


“Malah produk kayu bersijil daripada Malaysia telah digunakan dalam pembinaan Stadium Nasional Jepun untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya.


Ujarnya, Malaysia turut terkenal sebagai pengeksport getah asli dan barangan getah yang berkualiti tinggi terutamanya sarung tangan getah yang telah menembusi hampir 190 negara.


Kata beliau, Malaysia telah mempelbagaikan produk berasaskan getah terutama sekali yang bernilai tinggi sejajar dengan evolusi yang berlaku dalam rantaian penghasilan produk getah masa kini.


“Terbaharu hasil penyelidikan yang diterajui oleh anak Malaysia dengan kerjasama universiti terkemuka dunia, komposit getah generasi baharu telah berjaya dicipta hasil kombinasi ekstrak graphene dan getah asli.


“Komposit getah baharu ini akan digunakan dalam pembuatan belon aeroangkasa dan ini merupakan yang pertama seumpamanya di dunia,” katanya.


Comments


bottom of page