Malakoff pulih daripada kerugian, catat untung RM62.2 juta
- Ridhwanisme
- May 29, 2024
- 2 min read

KUALA LUMPUR: Malakoff Corporation Bhd mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak RM62.2 juta bagi suku pertama 2024, peningkatan sebanyak 182.2 peratus berbanding kerugian selepas cukai dan kepentingan minoriti (LATMI) RM75.7 juta yang dilaporkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Lonjakan terutamanya disebabkan oleh sumbangan yang lebih baik daripada loji janakuasa Tanjung Bin Power (TBP) dan Tanjung Bin Energy Sdn Bhd (TBE) memandangkan kos arang batu purata wajaran rendah berikutan penstabilan harga arang batu global, ditambah dengan kos kewangan yang lebih rendah.
Di samping itu, peningkatan ini dibantu oleh ketiadaan kerugian dari Loji Kuasa Air Bebas Al-Hidd (IWPP),rakan sekutu asing 40 peratus di Bahrain, dan kekurangan kerugian rosotn ilai ke atas pelaburan kumpulan dalam Al-Hidd IWPP.
Kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM2.28 bilion bagi suku berakhir 31 Mac 2024, penurunan sebanyak 0.2 peratus daripada RM2.285 bilion yang dilaporkan pada suku pertama tahun kewangan 2023.
Penurunan ini disebabkan terutamanya oleh pembayaran tenaga yang lebih rendah yang direkodkan daripada TBP dan TBE, mencerminkan penurunan harga arang batu terpakai (ACP).
Walau bagaimanapun, ini sebahagiannya disederhanakan oleh pembayaran tenaga yang lebih tinggi direkodkan daripada Segari Energy Ventures Sdn Bhd (SEV) memandangkan faktor penurunan yang lebih tinggi.
Dalam tonggak 'Malakoff Environmental Solutions', Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) mencatatkan PATMI sebanyak RM21.8 juta bagi suku dikaji, iaitu peningkatan sebanyak 3.3 peratus daripada RM21.1 juta yang dilaporkan pada suku yang sama tahun lalu.
Dari segi operasi, jumlah bahan kitar semula Alam Flora yang dikumpulkan meningkat sebanyak 17.8 peratus dalam tempoh yang sama, bukti kesan positif usaha kumpulan ke arah ekonomi kitaran.
Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib, berkata di samping pengembangannya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE), kumpulan juga memberi tumpuan untuk memastikan kebolehgunaan dan kestabilan loji kuasanya bagi memenuhi keperluan keselamatan tenaga negara.
Beliau berkata, seperti yang dilaporkan oleh Pengendali Sistem Grid, grid Semenanjung Malaysia mencapai paras tertinggi sepanjang masa iaitu 20,028 megawatt (MW) pada 29 April 2024, menunjukkan peningkatan permintaan dan keperluan penghantaran yang lebih tinggi untuk memenuhi keperluan tenaga.
"Di samping itu, ACP telah stabil kerana harga arang batu global yang stabil, yang telah memberi kelebihan kepada kami.
"Pengumuman baru-baru ini bahawa pengeluar tenaga bebas (IPP) boleh mula menjual elektrik terus kepada pengguna bermula pada bulan September, akan memberi manfaat kepada kumpulan kerana ini membolehkan kami menjual elektrik terus kepada pelanggan dengan menggunakan konsep 'caj pusingan', terutamanya dengan memanfaatkan aset 'brownfield' kami," katanya dalam satu kenyataan.
Anwar Syahrin berkata, alam sektor penyelesaian alam sekitar, Alam Flora Environmental Solutions Sdn Bhd (AFES) telah membentuk perkongsian dengan City Oil Field Inc (COF) untuk meneroka dan mengenal pasti peluang perniagaan dan kelestarian alam sekitar di Malaysia dengan menggunakan Kaedah Teknologi Pirolisis Baru (bukan tradisional) dan penggunaan peralatan dari Korea Selatan yang dibangunkan oleh COF, untuk merawat sisa plastik dengan cara yang mesra alam.
"Ini merupakan bukti ikrar kami untuk menggunakan penyelesaian yang inovatif dalam menguruskan sisa secara mampan di Malaysia," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comentarios