top of page

Malakoff laksana pembangunan sistem solar bumbung bersepadu 203 kWp di Masjid Saidina Umar Al-Khattab



KUALA LUMPUR 5 Dis - Malakoff Corporation Bhd menerusi Malakoff Radiance Sdn Bhd (MRSB) sedang menerajui pembangunan sistem Solar Bumbung Bersepadu Bangunan (BIPV) berkapasiti 203 kWp di Masjid Saidina Umar Al-Khattab (MSUA) di Bukit Damansara, di sini.


Kumpulan itu berkata, inisiatif itu bertujuan menyediakan rumusan tenaga lestari bagi mengurangkan kos elektrik serta menggalakkan penjimatan kos melalui penggunaan tenaga bersih.


Ia merupakan usaha pertama MRSB dalam pemasangan projek solar komuniti dan ia akan disiapkan dalam tempoh empat bulan di Bawah skim Zero CAPEX.


Projek itu turut menampilkan reka bentuk kanopi BIPV 100% dengan panel solar berfungsi sebagai struktur serbaguna, berfungsi sebagai bumbung kanopi serta penjana tenaga hijau dan ia menyediakan tempat letak kereta berbumbung untuk lebih daripada 40 kenderaan. 


Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, projek itu selaras dengan matlamat utama Malakoff untuk meningkatkan kualiti hidup dan memperkaya komuniti di bawah perkhidmatannya. 


Beliau berkata, kerjasama dengan MSUA ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan kumpulan ke arah memupuk pembangunan mampan komuniti dengan memberi impak positif kepada komuniti setempat, inisiatif hijau ini melambangkan potensi transformatif tenaga boleh diperbaharui (RE). 


"Melalui projek ini, kami berhasrat meningkatkan kesedaran dan berkongsi pengetahuan tentang manfaat jangka panjang pelaksanaan RE, khususnya tenaga solar. Selain daripada kelebihan kewangan, kesan terhadap alam sekitar adalah mendalam.


“Walaupun projek ini kelihatan seperti langkah kecil, kesannya amat besar. Kami teruja dengan kemungkinan yang ada dan kekal komited untuk meneruskan lebih banyak projek berpusatkan komuniti yang selaras dengan visi kami untuk masa depan yang lebih hijau," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Malakoff secara aktif memajukan pertumbuhan inisiatif RE sambil memastikan keselamatan tenaga Malaysia kekal tidak terjejas. 


Melalui teras perniagaannya, Malakoff Green Solutions, syarikat ini telah membangunkan portfolio RE yang mengagumkan sebanyak 159 MW termasuk pelbagai projek seperti Solar Skala Besar (LSS) dan pemasangan komersial serta industri, penjanaan kuasa hidro kecil dan pelaksanaan infrastruktur mobiliti bebas karbon.


Sumber: Dagang News

Comments


bottom of page