KUALA LUMPUR – Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) menyasarkan untuk membangunkan projek solar berkapasiti 500 megawatt (MW) dalam Kumpulan Syarikat Albukhary untuk tempoh lima tahun dengan nilai pelaburan RM2.5 bilion.
Cadangan projek tersebut bakal dicapai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai Malakoff bersama pelabuhan-pelabuhan di bawah Syarikat Kumpulan MMC semalam.
Ia bertujuan untuk meneroka potensi kolektif melalui kerjasama dan penerokaan peluang perniagaan dalam pelbagai inisiatif tenaga hijau, melibatkan pelaburan RM350 juta.
Pelabuhan di bawah MMC adalah Northport (Malaysia) Bhd., Johor Port Berhad, Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. dan Penang Port Sdn. Bhd.
Melalui MoU berkenaan, Malakoff dan pelabuhan-pelabuhan MMC bersedia untuk memulakan kerjasama transformasi dalam Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) yang mana Malakoff akan memainkan peranan sebagai pengeluar kuasa solar, manakala pelabuhan sebagai pengguna korporat.
Dalam program solar atas bumbung penggunaan sendiri (SelCo), Kumpulan akan berperanan sebagai pemaju untuk pengguna, iaitu melibatkan pelabuhan MMC yang mana pemasangan, operasi, dan penyelenggaraan sistem fotovoltaik solar akan diuruskan oleh Malakoff.
Selain itu, Malakoff dan pelabuhan-pelabuhan MMC juga sedang meneroka peluang kerjasama dalam program solar berskala besar (LSS) serta mempertimbangkan pelaksanaan cold ironing atau bekalan tenaga dari pantai ke kapal.
Cold ironing adalah proses menyediakan elektrik kepada kapal semasa berlabuh, yangmana enjin kapal dimatikan untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau dan pencemaran udara secara ketara.
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, pengumuman kerajaan mengenai Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menerapkan dasar-dasar yang jelas bagi syarikat utiliti seperti Malakoff untuk lebih memanfaatkan kepakaran dalam ruang tenaga boleh diperbaharui (RE).
“Kerjasama strategik ini mencerminkan aspirasi dan komitmen kami untuk menangani isu-isu alam sekitar global dengan memperluaskan portofolio RE kami yang sedia ada dan meneroka bidang-bidang berbeza dalam inisiatif hijau melalui penyelesaian komprehensif.
“Sehingga kini, pencapaian kami melibatkan kapasiti solar sebanyak 67 MW melalui LSS dan solar atas bumbung serta kapasiti kuasa hidro sebanyak 84 MW yang sedang dalam proses pembangunan.
“Kami juga sedang mengkaji untuk mengeksport tenaga ke negara-negara jiran seperti Singapura,” katanya. Beliau berkata demikian pada majlis pertukaran MoU yang diadakan.
Malakoff mempunyai sasaran untuk mencapai kapasiti RE sebanyak 1,400 MW menjelang tahun 2031 dan kadar kitar semula sebanyak 15 peratus hingga 20 peratus menjelang tahun 2025.
Sumber: Kosmo!
Malakoff cadang bina projek solar berkapasiti 500 MT bernilai RM2.5 bilion
Comments