IPOH: Majuperak Holdings Berhad (MHB) akan membangunkan projek Rumah Perakku di tanah seluas 46.38 hektar di Mukim Sungai Terap dekat Batu Gajah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM132 juta.
Pengerusi Eksekutif MHB, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, projek perumahan itu akan dilaksanakan secara berfasa dengan pembangunan fasa satu dan fasa dua dijalankan serentak dan dijangka bermula pada September depan.
Katanya, melalui projek itu, sebanyak 601 unit rumah mampu milik akan dibangunkan membabitkan Rumah Perakku 1, Rumah Perakku 2 dan Rumah Perakku 3 yang mempunyai empat bilik tidur dan dua bilik air.
“Anggaran harga jualan bagi projek perumahan ini antara RM90,000 hingga RM300,000 mengikut tiga kategori iaitu Rumah Perakku 1, Rumah Perakku 2 dan Rumah Perakku 3.
“Projek ini dijangka siap pada September 2025,” katanya ketika berucap pada sesi menandatangani pembiayaan pembinaan antara MHB dan Bank Rakyat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini semalam.
Sesi itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB, Syed Agil Syed Hashim dan Naib Presiden Kanan Bahagian Korporat dan Komersial Bank Rakyat, Mohd. Hamka Abd. Rani dengan disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng dan Redza Rafiq.
Redza Rafiq yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) berkata, pembangunan hartanah dan infrastruktur merupakan segmen perniagaan teras bagi MHB.
Menurutnya, sebagai pemain industri bagi sektor perumahan, sebanyak 14 projek perumahan telah dibangunkan dengan jumlah GDV mencecah RM1.09 bilion.
Katanya, antara lokasi-lokasi projek yang berjaya disiapkan termasuk projek di Mukim Hulu Kinta, Mukim Sungai Terap dan Mukim Changkat Jong.
“Kemudahan pembiayaan pembinaan berjumlah RM22 juta ini membuktikan keyakinan Bank Rakyat terhadap kemampuan MHB dalam melengkapkan pembangunan projek skim perumahan.
“Menerusi projek ini, MHB bergerak secara progresif dalam mendukung agenda pembangunan Perak Sejahtera 2030 dalam sektor perumahan mampu milik dimana kumpulan PKNPk telah dikenal pasti sebagai antara peneraju bagi agenda tersebut,” katanya.
Sementara itu, Sandrea berkata, inisiatif MHB itu selari dengan usaha kerajaan negeri dalam menyediakan kediaman yang mampu dimiliki rakyat pelbagai peringkat pendapatan.
Malah katanya, kerjasama diberikan Bank Rakyat diharap memberi suntikan kepada MHB agar projek itu dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.
“Sebab itu, dalam merancang skim perumahan baharu, kerajaan negeri menekankan aspek perancangan di mana segala persiapan perlu dirancang dengan baik supaya dapat dijalankan mengikut jadual tanpa menimbulkan sebarang isu yang menyusahkan pembeli,” katanya.
Sumber: Utusan
Comments