KUALA LUMPUR: Mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk membicarakan saman berhubung keputusan Jemaah Menteri yang membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) kerana ia suatu keputusan dasar awam Kabinet.
Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, berkata demikian melalui afidavit sokongan dalam permohonan kerajaan dan empat tokoh politik untuk membatalkan saman difailkan Mohd Hatta Sanuri, berhubung pembatalan projek infrastruktur itu membabitkan negara ini dan Singapura.
Ahmad Terrirudin menerusi affidavit difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 7 April lalu, mendakwa isu itu tidak wajar (bukan dalam bidang kuasa mahkamah) kerana keputusan Kabinet adalah berdasarkan rundingan dengan Singapura serta kajian tentang kepentingan dan kos ekonomi negara.
Mohd Hatta, 47, selaku plaintif memfailkan saman itu pada 30 Disember lalu, dengan menamakan dua bekas Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan kerajaan selaku defendan pertama hingga kelima.
Ahmad Terriudin mendakwa, kelima-lima defendan itu telah menggunakan kuasa mereka dengan betul berhubung keputusan Kabinet yang pada mulanya untuk menangguhkan projek berkenaan dan kemudian membatalkannya.
"Saya sesungguhnya percaya dan menegaskan tindakan plaintif adalah sangat jelas tidak dapat dipertahankan kerana plaintif tidak tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan tindakan ini dan keputusan defendan adalah keputusan dasar awam yang tidak boleh dibicarakan oleh mana-mana mahkamah.
"Dengan itu, saya sesungguhnya percaya dan menyatakan tindakan ini mengaibkan, remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah yang mulia ini.
"Selain itu, plaintif juga tidak mempunyai kepentingan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam perkara itu, malah dia tidak mempunyai hak undang-undang untuk memfailkan tindakan sivil bagi pihak semua rakyat Malaysia yang lain," dakwa Ahmad Terrirudin.
Pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR sepanjang 350 kilometer kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Dis 2020.
Sehubungan itu, Malaysia membayar S$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura untuk kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan perlanjutan penggantungannya.
Projek tersebut dijangka menyediakan tiga perkhidmatan utama iaitu perjalanan secara terus antara Malaysia dan Singapura dalam tempoh 90 minit, perkhidmatan domestik di Malaysia dan perkhidmatan ulang-alik dari Iskandar Puteri (Johor) sehingga Singapura.
Sumber: Berita Harian
Mahkamah tiada kuasa bicara saman pembatalan projek HSR - Peguamcara Negara
Comments