KUALA LUMPUR – Seorang lelaki memfailkan saman terhadap dua bekas Perdana Menteri berhubung pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura dan menuntut membayar ganti rugi RM1 juta kepada setiap rakyat Malaysia.
Lelaki itu Mohd. Hatta Sanuri, 47, selaku plaintif memfailkan saman tersebut pada Disember 2022 atas kapasiti peribadi dengan menamakan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai defendan pertama dan kedua.
Sementara bekas Menteri Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapha Mohamed, bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan ketiga hingga kelima.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh, Mohd. Hatta mendakwa, dia memfailkan saman tersebut atas kapasiti peribadi dan bagi pihak seluruh rakyat negara ini yang terjejas dan terkesan akibat tindakan salah, kecuaian dan misfeasans (salah laku ketika berada di pejabat awam) sehingga membawa pembatalan salah projek HSR dan pembayaran pampasan tidak perlu kepada Singapura.
Plaintif mendakwa, Dr. Mahathir telah melakukan kecuaian dan menyalah guna jawatannya ketika itu dengan menangguhkan projek HSR menyebabkan kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia perlu membayar pampasan kepada Kerajaan Singapura hampir RM46 juta.
Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin ketika menjadi Perdana Menteri pula didakwa cuai apabila menamatkan projek berkenaan sehingga kerajaan dan semua rakyat Malaysia termasuk plaintif selaku pembayar cukai perlu mengeluarkan wang RM320,270,519.24 sebagai pampasan pembatalan Perjanjian Dua Hala di antara Malaysia dan Singapura yang dipersetujui.
Sementara Ka Siong pula didakwa cuai sehingga menyebabkan hak rakyat Malaysia untuk menikmati sistem pengangkutan kelas pertama di peringkat antarabangsa yang pantas, selamat dan murah telah dinafikan.
Sehubungan itu, plaintif antara lain menuntut deklarasi bahawa pembatalan projek yang diumumkan oleh Muhyiddin adalah batal dan tidak sah.
Dalam pads itu, Mohd. Hatta turut menuntut deklarasi supaya kesemua defendan membayar ganti rugi dan pampasan sebanyak RM1 juta kepada setiap rakyat Malaysia termasuk plaintif kerana telah secara salah dan cuai membatalkan projek HSR.
Sementara itu pengurusan kes tersebut ditetapkan pada 2 Februari ini di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nur Shasha Hidayah Nor Azahar.
Pada 19 Februari 2013, Najib dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dalam satu kenyataan bersama menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Singapura telah bersetuju secara rasmi untuk melaksanakan projek HSR, yang dijangka siap pada 2026 dengan anggaran kos RM60 billion.
Projek tersebut ini antara lain akan membolehkan pengguna pengangkutan itu menikmati perjalanan di antara Malaysia dan Singapura dalam tempoh 90 minit.
Bagaimanapun, pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR sejauh 350 kilometer selepas kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.
Sehubungan itu, Malaysia telah membayar SGD$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura untuk kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penggantungannya.
Sumber: Kosmo!
Comments