top of page

MAHB tubuh pasukan selia projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang



Georgetown: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menubuhkan pasukan untuk menyelia Projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) yang merangkumi tiga pakej utama dan dijadualkan siap menjelang 2028.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Wong Hon Wai berkata tiga pakej itu meliputi kerja-kerja bangunan dan kerja-kerja bersekutu, pakej kerja-kerja apron dan kemudahan kawasan operasi pesawat serta bangunan terminal utama dan kerja-kerja bersekutu.


Pasukan MAHB akan berkoordinasi dengan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd untuk membina stesen Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran terminal utama lapangan terbang, katanya.


"Pengoptimuman lapangan terbang termasuk pemasangan 10 e-gate di kedua-dua balai berlepas antarabangsa dan balai ketibaan antarabangsa akan bermula pada November 2024 dan dianggarkan siap dalam masa empat bulan. Selain itu, 30 lagi pegawai imigresen akan ditempatkan pada akhir November.


"Jabatan Imigresen juga turut menyediakan meja bantuan Kad Ketibaan Digital Malaysia di balai ketibaan antarabangsa untuk membantu pelawat asing," kata Wong dalam hantaran di akaun Facebook rasminya.


Wong mengadakan pertemuan dengan MAHB di PIA, Bayan Lepas semalam.


Beliau menambah projek pembesaran itu terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan dan majlis pelancaran rasmi akan diadakan kemudian.


Selain itu, Wong turut memperkenalkan laluan baharu di PIA tahun ini. AirAsia akan melancarkan laluan Shenzhen-Pulau Pinang pada 29 Oktober HK Express akan memulakan penerbangan dari Hong Kong ke Pulau Pinang pada 21 November dan Qatar Airways akan menyambung semula laluan Doha-Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada jadual musim sejuknya mulai 27 Oktober.


"Dari Januari hingga September 2024, jumlah pergerakan penumpang mencecah 5.55 juta, meningkat 6.78 peratus daripada 5.2 juta penumpang dalam tempoh yang sama tahun lalu.


"PIA mengendalikan tujuh juta penumpang pada 2023 dan diunjurkan jumlah ini akan mencecah 7.8 juta pada 2024. Pembesaran lapangan terbang itu akan menampung 12 juta penumpang setahun," tambahnya.


Pada 27 Februari, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengumumkan kerajaan telah meluluskan projek pembesaran dan naik taraf PIA bernilai RM1 bilion, dengan MAHB bertindak sebagai penyelia projek itu.


Sumber: Harian Metro

Comments


bottom of page