KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang memonopoli hampir sepenuhnya industri perkhidmatan lapangan terbang di negara ini dijangka berdepan persaingan daripada pengendali baharu yang mungkin akan ditubuhkan melalui kerjasama awam-swasta.
Penganalisis Kenanga Research, Raymond Choo Ping Khoon, berkata di bawah Perjanjian Operasi 2023 (OA 2023) yang sedang dimuktamadkan, kerajaan mempunyai hak untuk menstruktur semula industri lapangan terbang menerusi kaedah 'clustering', memisahkan ekuiti perniagaan daripada syarikat induk, melupuskan lapangan terbang, menutup lapangan terbang atau terminal sedia ada atau penstrukturan semula mana-mana pemilikan kemudahan tertakluk kepada persetujuan bersama MAHB.
"Berkemungkinan besar bahawa model kerjasama awam-swasta boleh mempercepatkan pembangunan atau pengembangan lapangan-lapangan terbang di seluruh negara," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Di bawah OA 2023, kerajaan dan MAHB akan dapat membiayai pembangunan lapangan terbang sama ada dengan peruntukan kerajaan menerusi perbelanjaan pembangunan, atau mekanisme model pelaburan bersesuaian, antara lain melalui kos purata wajaran modal yang hanya akan ditentukan semasa pelaksanaan projek.
Selain itu, sebuah akaun amanah pembangunan lapangan terbang akan ditubuhkan bagi menerima sumbangan daripada pengguna lapangan terbang, orang awam dan syarikat penerbangan tanpa membabitkan dana kerajaan.
"Beban perbelanjaan modal yang berkurangan, terutamanya bagi penyelenggaraan dan pengembangan lapangan terbang, adalah positif buat MAHB," kata Ping Khoon.
Sementara itu, beliau berkata ketibaan pelancong di Malaysia dijangka meningkat hampir empat kali ganda kepada 9.6 juta orang tahun ini, berbanding anggaran 2.5 juta orang tahun lalu.
Katanya, unjuran itu disokong oleh kembalinya perjalanan udara perniagaan dan percutian, pemansuhan semua keperluan kuarantin ketibaan dan ujian di Malaysia sejak Ogos lalu, serta pembukaan semula secara beransur-ansur China, yang sebelum ini menyumbang kira-kira 12 peratus ketibaan pelancong di Malaysia.
"Ini akan menyokong pertumbuhan permintaan daya pengeluaran penumpang MAHB pada 2023. Kami menjangkakan trajektori trafik akan berkembang dalam bulan-bulan akan datang, apabila syarikat-syarikat penerbangan terus mengaktifkan lebih banyak pesawat bagi menampung permintaan yang meningkat.
"Menguatkan lagi trajektori pertumbuhan trafik adalah pergerakan pesawat yang terarah kepada penerbangan jarak sederhana dan jauh ke Perth, Sydney dan Auckland, serta destinasi-destinasi Asia Tenggara dan Asia Selatan.
"Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini menyaksikan kepulangan Kuwait Airways selepas tujuh tahun, manakala dua lagi syarikat penerbangan luar, KLM Royal Dutch Airlines dan All Nippon Airways, masing-masing akan menyambung operasi penerbangan tanpa henti ke Amsterdam dan Tokyo, selepas operasi dihentikan buat sementara disebabkan oleh pandemik COVID-19," katanya.
Beliau menambah, Malaysia Airlines turut meningkatkan kekerapan penerbangan ke Tokyo bermula November tahun lalu, manakala penerbangan AirAsia X ditingkatkan kepada 44 kali seminggu merentasi 10 laluan dalam tempoh sama.
Sumber: Berita Harian
Comments