KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Mah Sing Group Bhd, membeli sebidang tanah pegangan bebas seluas 2.12 hektar di Jalan Klang Lama pada harga kira-kira RM113 juta daripada Team Keris Bhd untuk membangunkan sebuah pembangunan berorientasikan transit (TOD) baharu yang dinamakan M Aurora.
Pemaju hartanah itu dalam satu kenyataan berkata, perjanjian jual beli dimeterai hari ini, dan projek itu dijangka dibuka untuk pendaftaran pada suku pertama tahun 2025.
"M Aurora akan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sebanyak RM660 juta dan menawarkan unit kediaman dengan susun atur dua, tiga dan empat bilik tidur, dengan saiz binaan masing-masing 702, 852 dan 1,005 kaki persegi.
"Harga jualan bermula daripada RM468,800. Projek ini juga akan menawarkan lot runcit, termasuk unit pandu lalu. Maklumat lanjut akan diumumkan kelak," katanya.
Projek TOD ini terletak berhampiran Stesen KTM Jalan Templer (sekitar 330 meter) dan Stesen KTM Petaling (450 meter).
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata pembelian tanah baharu di Jalan Klang Lama, berhampiran Jalan Gasing, memanfaatkan potensi kawasan kejiranan yang matang dan telah lama dimajukan.
"Lokasi utama ini menghubungkan Petaling Jaya dan pusat bandar Kuala Lumpur. Kedudukan kewangan kami yang kukuh, dengan nisbah penggearan bersih yang rendah iaitu 0.1 kali, membolehkan kami meneroka peluang pertumbuhan dengan yakin bagi pelbagai jenis projek.
"Sama ada projek khusus yang cepat siap atau perbandaran besar, kami bersedia untuk merebut peluang dalam pasaran semasa," katanya.
M Aurora akan dilengkapi dengan beberapa ciri lestari, termasuk lif dengan penggunaan tenaga rendah, pencahayaan LED di kawasan awam, panel solar di atas bumbung, dan sistem pengumpulan sisa automatik.
Pelancaran M Aurora ini menyusuli kejayaan kondominium M Oscar yang dilancarkan pada 2019 di kawasan sekitar Jalan Klang Lama.
M Oscar telah habis dijual sepenuhnya dan diserahkan pada April lalu.
Pembelian terbaharu ini menandakan pembelian tanah keempat Mah Sing pada tahun ini.
Pemaju hartanah itu berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran jualan tahunannya sebanyak RM2.5 bilion.
Ia disokong oleh prestasi jualannya sebanyak RM1.66 bilion dalam lapan bulan pertama, yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh pembangunan kediaman Siri M.
Sumber: Berita Harian
Comments