KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) terus mengembangkan simpanan tanahnya dengan pembelian terbaharu tanah pegangan bebas 23.93 hektar di Mukim Pulai, Johor Bahru pada harga RM62.98 juta.
Menurut pemaju hartanah itu dalam kenyataan hari ini, tanah baharu itu akan dinamakan sebagai M Tiara 3 dan dirancang untuk pembangunan rumah 'super-linked' dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM463 juta.
"Ini menandakan pemerolehan ketiga kumpulan di Mukim Pulai, selepas pembelian 40.63 hektar tanah pada April 2024 yang dinamakan M Tiara 2 dan 30.63 hektar tanah M Tiara pada Jun 2023.
"Berdasarkan pelan awal dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, M Tiara 3 dirancang sebagai kawasan perbandaran yang terdiri daripada rumah 'super-linked' dengan saiz binaan indikatif 22'x70', 24'x70' dan 28'x60', serta harga permulaan indikatif daripada RM780,000," katanya.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata: "Kami percaya terdapat permintaan yang kukuh untuk hartanah di Johor, justeru pemerolehan ini memberikan peluang baik untuk kami terus meluaskan kehadiran kami di kawasan ini.
"Dalam pengumuman Belanjawan 2025, kerajaan turut memberi keutamaan kepada kepentingan awam dan kemudahan yang menyokong kawasan perindustrian berdasarkan keutamaan negeri, seperti projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor-Singapura yang dijangka mula beroperasi pada 2027. Ini dijangka merangsang minat terhadap hartanah di Johor.
"Selain itu, pelepasan cukai ke atas faedah pinjaman perumahan sebanyak RM7,000 dan RM5,000 untuk pembeli rumah kali pertama akan menjadikan pemilikan rumah lebih mudah dicapai," katanya.
Beliau menambah, ia turut terbukti dengan kejayaan M Tiara, projek perumahan bertanah kumpulan di kawasan yang sama.
"Setakat ini, M Tiara menarik lebih 14,000 pendaftaran minat dan mencapai kadar ambilan 100 peratus untuk lot antarabangsa dalam dua fasa pertama, manakala M Tiara 2 akan dibuka untuk pendaftaran minat tidak lama lagi.
"Selain itu, M Minori di Taman Seri Austin, yang merupakan pembangunan M Series pertama kami di wilayah selatan, menerima sambutan luar biasa di mana lot antarabangsa bagi semua tiga menara mencatatkan kadar ambilan 99 peratus. Oleh itu, kami akan terus mencari tanah strategik di Johor untuk membangunkan kawasan perbandaran, projek M Series, dan projek perindustrian," katanya.
M Tiara 3 dirancang sebagai versi yang dipertingkatkan daripada pembangunan M Series kumpulan itu, menawarkan unit kediaman bertanah yang lebih besar dan konsep premium untuk memenuhi pelbagai keperluan pembeli rumah.
Ia mudah diakses melalui Lebuhraya Link Kedua Singapura-Malaysia, Lebuhraya Utara-Selatan, serta lebuh raya dan jalan utama lain.
Selain itu, kawasan ini berdekatan dengan institusi pendidikan, pusat membeli-belah, kemudahan rekreasi, dan kemudahan lain.
Dengan jaringan pengangkutan yang baik dan pelbagai kemudahan yang tersedia, M Tiara 3 disasarkan untuk memenuhi permintaan pasaran semasa, termasuk dari rakyat Singapura yang ingin menaik taraf rumah mereka, golongan profesional yang bekerja di Singapura, serta penduduk tempatan yang ingin menaik taraf dari kawasan perbandaran berhampiran.
Johor adalah wilayah pembangunan kedua terbesar Mah Sing selepas Lembah Klang. Ia melancarkan kawasan perbandaran pertamanya di Johor pada 2000 dan terus berkembang di wilayah selatan dengan pelbagai pelancaran projek, termasuk pembangunan bertingkat tinggi, rumah bertanah, komersial, dan perindustrian.
Setakat ini, Mah Sing menjual kira-kira 17,000 unit pembangunan kediaman, komersial, dan perindustrian di Johor.
Sumber: Berita Harian
Comments