GUA MUSANG: Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati ketika memandu di sepanjang Jalan Lojing-Gua Musang, di sini, berikutan insiden mengelak lubang benam di kawasan berkenaan, semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata lubang benam sedalam enam meter (m) itu dikenal pasti berlaku di Kampung Jek Jok, kira-kira jam 9.30 pagi.
Namun, beliau berkata, tiada kecederaan dilaporkan setakat malam tadi, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) dijangka melaksanakan kerja baik pulih dalam masa terdekat.
"Saya dimaklumkan jalan terbabit masih dibuka kepada semua pengguna (setakat jam berita ini ditulis), selain JKR memantau rapi kawasan berkenaan dan punca kejadian sedang disiasat," katanya.
Lazimnya, Jalan Lojing-Gua Musang digunakan pemandu dari Cameron Highlands dan Lojing Highlands ke Gua Musang.
Selain kereta, laluan itu turut digunakan lori dan kenderaan berat lain yang mengangkut sayur serta pelbagai hasil pertanian dari kedua-dua kawasan tanah tinggi terbabit untuk dipasarkan di Gua Musang dan negeri lain.
Sumber: Berita Harian
Comments